Mungkin ada kira-kira nak diserahkan kepada kroni?
……..
1. Kenapa perlu membina Jambatan Ke-3 Johor-Singapura sedangkan projek RTS belum lagi dimulakan? RTS adalah projek pengangkutan awam yang mampu mengurangkan kesesakan lalulintas di jambatan-jambatan sedia ada yang telah pun dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura.
2. SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) adalah dua syarikat milik kerajaan masing-masing yang dilantik untuk melaksanakan projek RTS. Kenapa pula secara tiba-tiba Prasarana hendak digantikan seperti diumumkan oleh Menteri Singapura sebagai sebab projek RTS telah ditunda beberapa kali?
https://www.todayonline.com/singapore/johor-baru-singapore-rts-link-behind-schedule-likely-delayed-beyond-2024-khaw
Syarikat swasta mana yang akan menggantikan Prasarana? Apakah justifikasi? Kenapa ianya tidak diteruskan oleh Prasarana?
3. Kelmarin, MB Johor kata kalau kerajaan tidak mampu menanggung kos membina jambatan ketiga, ianya boleh diserahkan kepada pihak swasta. Cakap bukan main senang. Syarikat swasta mana yang sanggup membina jambatan ketiga tanpa pulangan? ‘Land swap’ atau kutipan tol? Ingat, kalau nak membina jambatan, prinsipnya ialah berapakah tol yang dikutip di Malaysia, itulah nilai tol yang bakal dikutip oleh pihak Singapura. Formula ini digunapakai untuk Tambak Johor & Linkedua. Tambahan pula, kalau bina jambatan, pihak Singapura melalui LTA akan mengenakan VEP (vehicle entry permit) sebanyak SGD35 sehari (RM108 sehari) ke atas setiap kenderaan yang masuk ke Singapura. Faham tak, MB?
4. Projek RTS ini akan memanfaatkan hampir 288,000 pengguna yang berulang-alik di antara kedua-dua negara setiap hari. Mod pengangkutan yang paling cepat, murah dan “reliable” ialah RTS, kenapa tidak diteruskan mengikut jadual. Tak perlu rakyat kita dan pelancong asing sengsara beratur berjam-jam untuk memasuki Malaysia dari Singapura dan ini pasti akan merancakkan lagi ekonomi Malaysia khususnya di Selatan Johor.
5. Sebagaimana jawapan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada Datuk Lim Pay Hen dalam Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Negara bertarikh 6 September 2018 lalu, “kerajaan sedang merancang untuk membangunkan projek RTS yang menghubungkan Bukit Chagar bersebelahan Johor Baharu Sentral dan Woodlands di Singapura. Frekuensi perkhidmatan RTS Link adalah 4 minit setiap tren pada waktu puncak dan 8 minit setiap tren pada waktu luar puncak. Projek ini yang akan mula beroperasi pada tahun 2025 di jangka akan memanfaatkan hampir 288,000 pengguna yang berulang-alik di antara kedua-dua negara setiap hari.”
6. Isu ini juga pernah mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan yang melahirkan rasa kecewa berikutan projek RTS yang tidak berjalan lancar dan lewat daripada jadual asal. Dalam jawapan bertulis Parlimen mengenai perkembangan projek transit aliran itu, beliau berkata Perjanjian Dua Hala RTS Link (BA) yang dimeterai Singapura dan Malaysia pada Januari 2018, telah menetapkan beberapa perkara penting bagi menjejaki perkembangan projek tersebut. Mengikut BA tersebut, syarikat usaha sama (JVC) membabitkan SMRT dan Prasarana sepatutnya telah ditubuhkan menjelang 30 Jun, 2018 dan JVC itu perlu dilantik sebagai operator atau pengendali RTS Link (OpCo) menerusi satu Perjanjian Konsesi (CA) dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan kerajaan Malaysia menjelang 30 Sept, 2018. Bagaimanapun, perkara penting itu tidak dapat menjadi kenyataan.
#utamakanrakyat
Oleh Wee Ka Siong