RATA-RATA rakyat Malaysia memang suka makan! Tak hairan setiap kali tibanya bulan puasa, bazar Ramadan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan lebih menarik setiap peniaga menawarkan pelbagai hidangan sebagai juadah berbuka.
Apabila sedang berpuasa ais kosong pun nampak menyelerakan apatah lagi melihat ayam percik, roti john, mee kari, nasi lemak, kuih-muih dan sebagainya… memang rambang mata dibuatnya!
Tapi kebanyakan daripada kita sebenarnya membeli kerana nafsu dan akan menyesal apabila makanan yang dibeli tidak mampu dihabiskan dan terpaksa dibuang begitu sahaja.
Sebenarnya perkara itu boleh dicegah sekiranya anda membuat perancangan sebelum ke bazar Ramadan sekaligus mengelakkan pembaziran.
Bagi memastikan umat Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan mengumpul sebanyak mungkin kebaikan tanpa dipengaruhi perlakuan yang boleh mencacatkan amalan wajib Rukun Islam ke tiga ini, mari kita sama-sama ketahui apa yang sewajarnya dilakukan ketika berkunjung ke bazar Ramadan.
1. Buat senarai makanan
Alang-alang seharian berfikir mengenai makanan, apa kata senaraikan juadah yang anda teringin hendak beli di bazar Ramadan? Minta juga suami, anak-anak fikirkan satu menu yang mereka suka untuk dimasukkan dalam senarai tersebut.
Daripada senarai itu nanti, pasti ada yang minta juadah sama jadi ia bukan sahaja menjimatkan wang tetapi masa apabila ke bazar.
2. Bawa RM20 sahaja!
Kebiasaannya kita tidak dapat menahan nafsu untuk membeli kerana tahu ada wang dalam dompet… jadi apa kata, tinggalkan sahaja dompet di rumah dan hanya bawa RM20 dalam tangan.
Apabila mempunyai wang terhad dalam tangan, percayalah secara automatiknya anda akan menjadi lebih berhati-hati untuk membeli kerana bimbang tak cukup duit untuk dibayar kepada peniaga.
3. Jangan terpedaya 5 untuk RM2
Kalau nampak kuih-muih dijual lima biji dengan harga RM2 jangalah cepat sangat terpengaruh kerana belum tentu anda dapat habiskan sebaliknya cuba beli ikut keperluan sahaja.
Tidak rugi sebenarnya anda membayar RM1.20 untuk dua biji kuih kerana anda bukan sahaja sudah menjimatkan RM0.80 sen tetapi mengurangkan risiko kuih itu masuk ke tong sampah! Kenapa nak bayar RM2 kalau nak makan dua biji saja. Betul tak?
4. Bancuh air, masak nasi di rumah
Percayalah teh ais yang anda bancuh sendiri di rumah lagi sedap berbanding yang dijual di bazar Ramadan! Bukan susah pun nak buat.
Begitu juga dengan nasi, sebelum ke bazar tu, apa kata masak nasi dulu jadi tidak perlulah membazir dan hanya beli lauk sahaja.
5. Pergi satu lokasi bazar sahaja!
Pantang ada yang beritahu ada bazar Ramadan menarik semua nak pergi dalam masa satu hari! Relaks… bulan puasa ada 30 hari, tak perlu terkejar-kejar nak pergi semua tempat.
Paling baik kalau cari bazar berdekatan kediaman anda atau yang paling mudah akses kerana bukan sahaja jimat masa tetapi minyak kereta anda.
6. Kunjung bazar hujung waktu berbuka
Ini tip paling bijak sebab kebiasaannya pada waktu begini semua peniaga sudah mahu menutup gerai mereka dan menjual lebihan makanan dengan harga lebih murah… silap-silap mereka beri percuma sebagai sedekah. – mStar