“BUKAN saja pakaian, tetapi beg, tali pinggang malah kasut but dan sarung kaki turut dibuang.
Semuanya masih baharu dan cantik,” kata Shahril Azman, 43, ketika mengulas mengenai pembuangan ribuan pakaian Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sebuah tanah lapang berhampiran Tasik Biru Kundang di sini, baru-baru ini.
Puluhan kotak mengandungi pakaian dan kelengkapan itu dipercayai dibuang sejak seminggu lalu oleh pihak tidak dikenali sebelum perkara itu tersebar tular di laman Facebook(FB) sejak semalam.
Shahril berkata, disebabkan itu orang ramai mula masuk ke kawasan berkenaan, malah ada yang membawa lori untuk mengambil puluhan kotak pakaian itu.
“Asalnya semua pakaian di dalam plastik dan kemas, tetapi apabila ada penduduk yang mula memilih-milih bungkusan itu, ia mulai bersepah,” katanya.
HMetro melaporkan, masih ada saki-baki daripada ribuan pakaian dan kelengkapan PLKN di tanah lapang berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati pakaian berkenaan sepatutnya dihantar kepada beberapa kem PLKN berdasarkan alamat yang tertera di kotak pakaian itu.
Antaranya, Kem Tegas Mesra di Selama, Perak dan Kem PLKN Putra Putri di Melaka dan lain-lain kem.
Pelupusan pakaian dan kelengkapan PLKN itu dipercayai rentetan keputusan kerajaan memansuhkan program berkenaan pada tahun lalu.
Sementara itu, orang ramai ketika ditemui rata-rata teruja apabila melihat longgokan pakaian dan kelengkapan berkenaan yang masih dalam keadaan baharu dan cantik.
Bagaimanapun, ramai juga mempersoalkan tindakan pelupusan itu yang dianggap membazir dan seharusnya diserahkan kepada pihak yang memerlukan.