Beberapa kain rentang yang dipasang di sekitar Presint 14, Putrajaya hari ini menarik perhatian orang ramai serta pengguna jalan raya.
Kain rentang yang berbunyi ‘Kami sokong Dato Seri Azmin Ali sebagai PM ke-8, Mohon Tun Mahathir tolak Anwar Ibrahim’ itu menjadi perhatian kerana ia muncul ketika suasana ‘perang’ antara dua kem dalam PKR yang didakwa meletus ketika ini.
Sesetengah pemerhati politik mendakwa perbalahan antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kem Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini antara yang menjadi perhatian dalam politik tanah air sekarang.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kain rentang tersebut dinaikkan sendiri oleh penyokong dari kem Azmin atau sabotaj dalam kalangan penyokong dari kem Anwar.
Terdahulu, kem Mohamed Azmin menerima tamparan hebat apabila video semburit yang didakwa mirip dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menjadi tular.
Susulan penularan video tersebut, Ketua AMK Santubong, Haziq Abdul Aziz tampil membuat pengakuan sumpah secara terbuka mengakui beliau merupakan pelaku dalam video seks songsang tersebut.
Susulan dari pengakuan tersebut, Haziq bagaimanapun dipecat dari PKR serta merta.
Terbaharu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga dikaitkan dengan kem Mohamed Azmin turut terpalit dengan tuduhan skandal bersama Ahl Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli ketika berada di Sandakan baru-baru ini.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak tampil membuat penafian dan Juwairiya akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berkenaan.- MalaysiaGazette