PEKAN, 18 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik di dunia.
Najib berkata, langkah tersebut dilihat dapat dilaksanakan kerana kejayaan pembangunan negara, sikap rakyat yang semakin matang serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap hak asasi manusia.
“Ini bukan desakan mana-mana pihak tetapi jasa dan budi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah diperjuangkan selama ini,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Kira-kira 50,000 orang hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Najib berkata, cadangan berkenaan adalah sebagai satu transformasi politik negara dalam perihal menjaga hak asasi manusia.
“Sudah sampai masa kita melangkah satu lagi ke hadapan membawa negara (ke tahap) begitu tinggi bukan sahaja dari segi ekonomi serta pendidikan tetapi pegangan prinsip demokrasi kita nak letak antara terbaik di dunia,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN akan meneruskan pembelaan dalam semua aspek bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita negara moden dan progresif, kita tak lupa mereka yang menyokong kita, di luar bandar dan bandar yang perlu diberi perhatian apa yang dikehendaki rakyat, tekanan dan masalah kehidupan kita akan teruskan (pembelaan),” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata keunikan negara Malaysia perlulah dijaga dan dipupuk dengan rasa muhibah selaras dengan pembangunan negara.
Katanya, dengan itu rakyat dapat menyambut pelbagai perayaan dalam suasana harmoni tanpa rasa bimbang dan takut.