Polis diminta menjelaskan secara terperinci mengenai kertas siasatan kes rogol pembantu rumah Indonesia oleh seorang Exco Perak yang dipulangkan buat kali kedua.
Ini kerana, kes itu sudah lebih daripada sebulan sejak ia mula-mula dilaporkan.
Sudah tentu, pemulangan kali kedua kertas siasatan itu bakal membawa kepada dua kesan utama, kata Pasukan Pemantau Kerajaan (GMC) MCA.
Ketua Penyelarasnya, Dr Wong Kok Fye berkata, masyarakat antarabangsa amat prihatin terhadap kes ini kerana ia membabitkan seorang warga asing.
Kerajaan Indonesia serta badan-badan bukan kerajaan juga telah bertemu dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia untuk menggesa kes ini dikendalikan secara adil dan telus.
Kelewatan dalam proses siasatan pastinya akan menjejaskan imej Malaysia, malah cara pihak polis dan kehakiman mengendalikan kes ini sedang diperhatikan dengan teliti oleh masyarakat antarabangsa.
“Pemulangan kertas siasatan untuk kali kedua sudah tentu membangkitkan perasaan syak wasangka dan memberi gambaran negatif kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Menurut laporan media, Ketua Polis Perak mengatakan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dilengkapkan sebelum kertas siasatan berkenaan dihantar semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.
Jelasnya, proses siasatan polis sangat terperinci dan rasional dan pihak terbabit (mangsa atau orang yang dituduh) sudah tentu menghadapi tekanan psikologi dan fizikal.
Pemulangan semula kertas siasatan untuk kali kedua akan menyebabkan pihak polis terpaksa memulakan semula prosedur siasatan, ini bermakna pihak terbabit terpaksa bekerjasama dengan pihak polis sekali lagi dan ini secara langsung bakal menambahkan lagi tekanan psikologi dan fizikal terhadap mereka kerana terpaksa melalui semula pengalaman perit yang dialami.
Berdasarkan dua perkara tersebut, diharapkan pihak polis dapat memberi penjelasan terperinci mengenai sebab kertas siasatan dipulangkan semula, tanpa menjejaskan prosedur siasatan.
GMC MCA juga, katanya, mengharapkan polis melengkapkan siasatan mereka dengan baik dan secepat mungkin sebelum diserahkan semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.
Dua hari lalu, Ketua Polis Perak memaklumkan polis akan menyiapkan kertas siasatan berhubung kes pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol oleh exco kerajaan Perak, Paul Yong dalam masa 48 jam dan menyerahkannya semula kepada pengarah pendakwaan negeri buat kali ketiga.
Razarudin Hussain berkata, polis telah mengemukakan kertas siasatan selepas laporan perubatan dan forensik dikeluarkan pada Isnin lalu.
“Kertas siasatan telah dipulangkan semula kepada pihak polis untuk melengkapkan sedikit lagi keterangan yang ada sebelum dihantar kembali kepada pengarah pendakwaan negeri,” katanya.