JAKARTA – Umat Islam di Indonesia menyambut bulan puasa tahun ini pada tiga hari berbeza dengan organisasi masyarakat Islam terbesar di negara ini, Muhammadiyah mengumumkan bulan Ramadan bermula esok.
“Muhammadiyah menetapkan awal puasa jatuh pada 28 Jun 2014 kerana pada dasarnya menurut kiraan hakiki dengan kriteria wujudnya hilal.
“Awal Ramadan akan berbeza lagi tetapi lebaran (Aidilfitri) kemungkinan serentak,” kata Setiausaha Pengurus Wilayah Muhammadiyah Jawa Timur, H. Nadjib Hamid.
Nahdlatul Ulama pula dalam kenyataan kepada akhbar The Jakarta Post hari ini mengumumkan umat Islam akan mula berpuasa pada hari Ahad.
Di Padang, Sumatera Barat pula, sebanyak 5,000 anggota organisasi Islam, Naqsabandiyah mula berpuasa hari ini.
Setiausaha Naqsabandiyah Sumatera Barat, Edison berkata, perkiraan permulaan Ramadan ditetapkan berdasarkan formula hisab munjib iaitu 1 Ramadan setiap tahun ialah 360 hari selepas awal Ramadan tahun sebelum itu.
Kalendar inilah yang diajar oleh guru-guru kami sejak bertahun lalu. Justeru, kami akan mula solat terawih semalam (Khamis),” katanya lagi.
Sementara itu, Kementerian Agama Indonesia akan mengadakan sidang isbat (penetapan) awal Ramadan pada pukul 4 petang ini.
Sidang isbat kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana ia tidak lagi disiarkan secara langsung, sebaliknya, kementerian itu akan mengumumkan hasil keputusannya sebaik berakhir perbincangan.
Setiap kali berlangsung sidang isbat awal Ramadan dan awal Syawal, Kementerian Agama akan mengundang seluruh organisasi masyarakat Islam untuk membuat penepatan sambutan dua bulan penuh kemuliaan bagi umat Islam itu.