Saudi Aramco akan melabur di Malaysia sebanyak AS $ 7 bilion sebelum 31 Mac ini.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menjelaskan ia adalah perkara yang baharu sahaja diterima daripada Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pagi tadi sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menutup perbincangan dengan Aramco di Riyadh.
Menurut Najib lagi perkara itu hanya diumumkan kepada semua jemaah menteri dan dikongsikan bersama masyarakat menerusi program Majlis Penyerahan Kanvas Belia Transformasi Nasional TN50 kepada Perdana Menteri oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
“Aramco setuju melabur AS $ 7 bilion. Hampir 30 bilion sebelum 31 Mac masuk ke dalam akaun negara. Melonjak lah FDI. Ini adalah usaha kita untuk generasi TN50,” katanya dalam program tersebut di Kuala Lumpur, Rabu.
Najib mendakwa rancangan Saudi Aramco untuk melabur AS $ 7 bilion bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas hampir musnah kerana “maklumat yang salah” tentang Malaysia.
Antara dakwaan tersebut adalah ekonomi Malaysia berisiko dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di ambang muflis.
Bagaimanapun Abdul Rahman telah diarahkan ke Riyadh untuk menutup perbincangan bersama Aramco bagi membetulkan salah faham yang berlaku.
Perjanjian itu ditandatangani pada 28 Februari semasa lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia.