Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengesyaki wujud unsur rasuah atau salah guna kuasa di sebalik tindakan melompat parti yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
Presidennya, Jais Abdul Karim mendakwa, tindakan tersebut diambil bagi memastikan kedudukan, jawatan atau imbuhan ‘periuk nasi’ terjamin tanpa memikirkan amanah rakyat yang memilih mereka semasa pilihan raya lalu.
“Budaya negatif dan tidak profesional ini tidak sewajarnya berlaku walau apa pun sekali alasan kerana mereka adalah pemimpin politik yang dulunya berikrar bermati-matian mempertahankan parti.
“Walaupun, tiada undang-undang yang menghalang tindakan melompat parti ini, namun perbuatan tidak beretika ini disyaki ada kaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa yang perlu dibuktikan oleh pihak yang berkepentingan dan tertindas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Jais tidak menolak kemungkinan tindakan melompat parti dibuat sebagai satu bantahan terhadap kepimpinan parti yang dilihat semakin lemah.