Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti mengambil maklum terdapat aduan ahli kepada Jawatankuasa Disiplin (JKD) mengenai pertemuan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang menjadi viral dan polemik.
Ini kerana katanya, ramai yang tidak senang hati kerana mereka merasakan ia membelakangkan keputusan parti.
“Kita bersetuju supaya JKD melakukan siasatan di bawah peraturan sedia ada dan terpulang kepada JKD untuk membuat sebarang keputusan.
“Secara dasar, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat beberapa ketetapan antaranya sebarang tindakan oleh Ahli Parlimen UMNO mesti dibuat secara bersama atau ‘enbloc’,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ulasnya juga, parti mahu memastikan segala keputusan parti hendaklah dipatuhi oleh semua pihak khasnya Ahli Parlimen UMNO.
“Kepercayaan ahli dan rakyat yang kuat serta menyakinkan ketika ini hendaklah dihargai dan dihormati oleh semua pemimpin parti.
“Ini termasuklah untuk tidak berkompromi dengan kerajaan atau pemimpin kerajaan yang kewibawaannya dipertikai oleh rakyat,” katanya lagi.