Menara kediaman di Jalan Conlay yang kelihatan condong adalah reka bentuk bangunan itu dan bukannya menandakan bangunan itu akan runtuh.
Malah mereka yang sekadar melihat gambar berkenaan di media sosial, tanpa membuat rujukan dan pemeriksaan fakta, akan mudah terpedaya dengan penerangan yang mendakwa bangunan kediaman berservis YOO8 itu akan tumbang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di ibu negara Malaysia itu.
Bagaimanapun, ketua Pegawai Eksekutif KSK Group, yang merupakan pemaju projek itu, Joanne Kua berkata struktur binaan menara kediaman itu mempunyai keunikan binaan yang akan kelihatan condong jika dipandang dari sudut berbeza.
“Ia bergantung pada pandangan sudut dan ciri unik binaan itu akan menampakkannya seolah-olah condong.
“Pihak kami sebagai pemaju sudah meletakkan asas keselamatan yang kukuh dalam kerja-kerja pembinaannya supaya ia terjamin,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Awal dari itu, tular di media sosial mengenai struktur binaan menara kediaman terletak di tengah ibu kota yang sedang dalam pembinaan itu seolah-olah akan runtuh sehingga menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai.
– BERNAMA