Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini menerima tekanan demontrasi sekumpulan anak muda bermotosikal yang menuntut satu litar lumba disediakan untuk golongan itu.
Menggelarkan diri mereka Mat Rempit, kumpulan berkenaan yang hadir seramai 200 orang, mempertikaikan kenapa pusat hiburan yang banyak mendatangkan keburukan diberi lesen dengan mudah tetapi permohonan riadah untuk golongan muda tidak diambil berat.
Perarakan bermula di Jalan Penang jam 12 tengahari.
Mereka yang menunggang motosikal kemudian mematikan enjin di tengah jalan dan mula menolak kenderaan mereka menuju bangunan KOMTAR sambil berarak mereka menjulang sepanduk tertulis “Selamatkan Pulau Pinang, Selamatkan Mat Rempit”.
Mereka memakai baju-t kuning yang tertera dengan tulisan berkenaan.
Perarakan menyebabkan kenderaan di Jalan Penang dan kebanyakan jalan di sekitarnya mula perlahan dan tidak dapat bergerak sama sekali.
Konvoi motosikal itu menyebabkan lalu lintas di bandar George Town terganggu hampir dua jam.
Berkumpul di hadapan KOMTAR, mereka kemudian melaungkan permohonan litar lumba harus dipertimbangkan kerajaan negeri namun tiada jurucakap rasmi tampil bercakap kepada pemberita.
Selepas mengelilingi bangunan KOMTAR sebanyak tiga kali, mereka ke bangunan Dewan Undangan Negeri di Lebuh Light.
Ketika itu, persidangan sedang berehat pada waktu tengahari.
Bagaimanapun, polis yang siap sedia di lokasi berjaya menyuraikan konvoi berkenaan.
Lima orang yang dipercayai penganjur dan peserta demonstrasi ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 27(5) kerana mengadakan perhimpunan haram.