POLIS mengesahkan menerima laporan kes seorang seorang pramugari yang mempunyai simptom Covid-19 melarikan diri dari Hospital Parit Buntar, Perak, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya ada menerima aduan mengenai perkara itu.
“Kita terima laporan daripada pihak hospital. Buat masa ini kita tengah menguruskan perkara ini.
“Dia kini sedang dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar (Perak). Itu maklumat terakhir yang saya boleh kongsi setakat ini,” katanya kepada mStar.
Omar Bakhtiar turut berkata wanita itu bagaimanapun belum disahkan positif Covid-19 tetapi hanya menunjukkan simptom jangkitan berkenaan.
“Dia belum disahkan positif. Dia hanya menunjukkan simptom Covid-19,” katanya sambil menambah kenyataan penuh akan dikeluarkan selepas isu ini selesai.
Terdahulu, tular satu laporan polis mendakwa seorang pramugari yang mempunyai simptom Covid 19 ditempatkan di bilik isolasi Hospital Parit Buntar untuk saringan melarikan diri selepas menolak untuk masuk ke wad di Hospital Taiping.
Menurut laporan itu pramugari berkenaan melarikan diri bersama dengan abangnya sewaktu dalam perbincangan untuk urusan tersebut.