SEORANG pegawai polis berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Klang, Rabu atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks.
Tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan pertama, Hazrul Hizham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya didakwa telah menyalah guna kuasa untuk memperdagangkan seorang wanita Mongolia berumur 20 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya antara pukul 10.30 malam 10 April hingga 8.30 malam pada 11 April lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi wanita Mongolia berumur 36 tahun di bilik berlainan di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Hazrul Hizham didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim mencadangkan supaya pegawai polis itu dibenarkan diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri ke balai polis sehingga perbicaraan selesai.
Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya kini digantung tugas dan tinggal seorang diri di Petaling Jaya.
“Sebagai pegawai polis, anak guam saya tahu natijahnya jika dia tidak hadir perbicaraan,” katanya.
Tasnim membenarkan Hazrul Hizham dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri ke balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. – Bernama