Bukit Aman memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan seorang bekas menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, FMT mendapat tahu daripada sumber.
Difahamkan, setiausaha politik bekas menteri itu sudah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur untuk disoal siasat atas dakwaan rasuah membabitkan beberapa pemaju di ibu negara.
Satu laporan dibuat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pemeriksaan FMT mendapati siasatan sedang dijalankan polis Brickfields dan Sentul atas “2 jenayah komersial”.
Satu sumber turut memberitahu FMT, polis akan memanggil bekas menteri itu dan timbalannya tidak lama lagi, serta pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
FMT sudah menghubungi polis untuk mendapatkan butiran lanjut dan bekas menteri itu yang namanya tidak didedahkan sementara menunggu pengesahan nya. FMT