Bekas Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin tampil di Ibu Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini berkaitan isu skandal projek terowong dasar laut.
Beliau tiba ke pekarangan premis berkenaan sekitar 1.55 petang menaiki kenderaan Vellfire beliau dan ditemani beberapa pegawainya.
Katanya, beliau datang ke SPRM kerana telah dipanggil oleh pegawai berkaitan dengan projek terowong di Pulau Pinang.
“Saya telah dipanggil sebenarnya oleh SPRM (penyiasat) untuk tampil memberi keterangan sebagai saksi berkaitan siasatan projek terowong dasar laut itu.
“Saya percaya saya dipanggil atas kapasiti sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini dari 2013 hingga 2020 dan saya difahamkan atas sebab itulah (dipanggil),” katanya ketika ditemui pemberita di pintu masuk utama suruhanjaya tersebut di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya menambah, kesemua Exco kerajaan negeri Pulau Pinang telah dipanggil dan dirakam keterangan sebelum ini dalam perkara tersebut sejak beberapa minggu lalu.
Namun katanya beliau tidak tahu apa yang akan disoal siasat oleh penyiasat SPRM sepanjang proses mengambil keterangan itu.
“Saya tidak tahu apa yang akan ditanya, saya akan tengok nanti. Lagipun saya menerima notis untuk hadir sebagai saksi ke sini pada Isnin.
“Ini kali pertama saya dipanggil untuk kes terowong dasar laut,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau diminta membawa bersama beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan, Afif bagaimanapun menjelaskan setakat ini tidak ada sebarang arahan atau permintaan sebegitu diterima dari pegawai penyiasat yang memanggil beliau untuk hadir hari ini.
“Setakat ini, tiada sebarang dokumen diminta oleh SPRM. Kehadiran saya sebagai Exco menghadiri mesyuarat kerajaan negeri jadi mereka minta saya tampil beri keterangan,” ujarnya lagi.
Malah ditanya juga kenapa beliau tidak diminta hadir dan dirakam keterangan di cawangan SPRM Pulau Pinang, Afif yang juga bekas Ketua Pemuda Keadilan berkata, beliau banyak berurusan di ibu negara maka beliau diminta tampil berurusan ke Ibu Pejabat SPRM.
Awal Julai ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke ibu pejabat SPRM negeri dan disoal berhubung projek terowong laut tersebut.
Perkembangan itu berlangsung sehari selepas suruhanjaya anti rasuah itu menyoal siasat tiga exco yang lain iaitu Phee Boon Poh, Chong Eng dan Jagdeep Singh Deo 6 Julai lalu termasuk Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang, Prof Dr. P. Ramasamy.
Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan sejak ia dimulakan pada 2017 dan enggan mengulas tentang kemungkinan exco akan ditahan.
Bagaimanapun DAP sambil mendakwa tindakan SPRM itu bermotifkan politik, menyatakan SPRM pernah mengesahkan tiada salah laku dalam kes berkenaan.
Seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang direman empat hari berhubung kes itu namun dibebaskan dengan jaminan RM100,000.