Pengurusan kedai peralatan sukan Al-Ikhsan di pusat beli-belah Alamanda, di sini, melakukan proses sertu di premis itu hari ini susulan kejadian seekor babi hutan sesat memasuki premis itu semalam.
Tinjauan ke premis itu mendapati, proses sertu itu dijalankan dengan pemantauan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Aktiviti bermula 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian, disertai 15 kakitangan JAWI termasuk Bahagian Kajian jabatan itu dan 10 kakitangan Al-Ikhsan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Putrajaya, Mastuyah Sahari berkata,
pihak Al-Ikhsan berkata, kejadian itu petang semalam adalah kali pertama berlaku di pusat beli belah di pusat pentadbiran kerajaan ini.
“Ia juga antara aktiviti dakwah JAWI dalam membimbing dan memberi kefahaman kepada masyarakat bagi mengadakan aktiviti sertu.
“Kita juga sudah mengesan tapak kaki dan air liur haiwan liar itu termasuk melupuskan barangan yang terkena tubuh badan haiwan itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Semalam tular di media sosial, visual haiwan liar itu memasuki pusat beli belah Alamada sekitar jam 12.30 tengah hari dan berlegar-legar di premis pusat menjual barangan sukan itu.
Haiwan liar yang tersesat itu kemudiannya diusir keluar oleh anggota bomba ke sebuah padang ragbi berdekatan pusat beli belah itu.
Sementara itu, Pengurus Kawasan Al-Ikhsan Lembah Klang, Saiful Adam berkata, pihaknya mengambil langkah menjalankan proses sertu itu untuk membersihkan premis itu mengikut cara umat Islam bagi meyakinkan orang ramai.
Katanya, syarikat menanggung kerugian hampir RM20,000 berikutan perlu melupuskan barangan yang terkena haiwan liar berkenaan seperti kasut, seluar dan jersi yang dipamerkan ketika kejadian.
“Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali dan kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menjamin keyakinan pelanggan,” katanya.