Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas adalah mimpi ngeri buat seluruh rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah sendiri.
Buat negara, PRN Sabah menjadi punca gelombang ketiga penularan wabak Covid-19. Buat Sabah khususnya, ia adalah malapetaka terburuk buat negeri itu.
Selepas PRN Sabah, rakyat Sabah sepertinya tidak mendapat pembelaan setelah menyaksikan jumlah kes baharu yang tinggi dan kematian akibat Covid-19 setiap hari.
Sedih rasanya melihat video-video tular situasi di Sabah. Antaranya, masyarakat Pala’u atau Gipsi Laut yang sanggup mendayung sampan uzur sambil mengendong anak kecil ke jeti di tengah panas untuk mendapatkan bantuan.
Ada juga penduduk di Lahad Datu yang turun berdemonstrasi kerana bantuan lambat tiba apabila beras, barangan basah dan susu anak kehabisan. Jelas, Covid-19 tidak memberi gentar pada perut yang lapar.
Janji Muhyiddin Yassin ketika berkempen bahawa, “Sabah akan lebih maju jika sehaluan dengan Persekutuan” masih terpahat di hati. Kononnya, sukar untuk Sabah menikmati kemajuan jika pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan tidak selari.
Kata Perdana Menteri itu lagi, kerja-kerja pembangunan di Sabah akan segera dilakukan, namun peruntukan buat Sabah dalam Belanjawan 2021 menunjukkan bahawa kerajaan Muhyiddin ini tidak serius untuk menunaikan janji pada rakyat Sabah.
Peruntukan Semenanjung dan Sarawak meningkat menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada minggu lepas. Hanya peruntukan buat Sabah menurun.
Belanjawan 2020 di bawah Pakatan Harapan (PH), Sabah menerima peningkatan peruntukan kepada RM5.2 bilion. Namun, Belanjawan 2021 di bawah Perikatan Nasional, peruntukan buat Sabah menurun kepada RM5.1 bilion.
Apakah ini membuktikan janji Muhyiddin Yassin bahawa Sabah akan lebih mudah dibangun dan dimajukan apabila sehaluan dengan Persekutuan?
Apakah Muhyiddin tidak dapat melihat bagaimana rakyat Sabah kesempitan kini setelah kes baharu Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan drastik sejak PRN Sabah lalu?
Jelas, Muhyiddin tidak mengambil berat akan Sabah semanis mulutnya ketika berucap dalam kempen-kempennya di Sabah. Muhyiddin tidak prihatin dan tidak rajin turun meninjau jalan raya serta jambatan-jambatan yang perlu diselenggara segera.
Keadaan Sabah tenat. Penurunan peruntukan Persekutuan kepada negeri Sabah seperti menganak tiri negeri yang kaya dengan sumber asli ini.
Sudahlah Kabinet negeri Sabah tidak melantik Menteri Kesihatannya sendiri seperti yang dilakukan ketika pentadbiran negeri di bawah Shafie Apdal. Entah apalah yang difikirkan Ketua Menteri Sabah yang baru, Hajiji Mohd Noor. Lebih-lebih lagi kes baharu di Sabah ketika itu naik mencanak.
Kini, rakyat Sabahlah yang harus menanggung nasib akibat ketamakan kuasa Si Perencana, Musa Aman. Muhyiddin Yassin dan Hajiji juga tidak bersuara lagi untuk kemajuan Sabah. Di manakah mereka ketika bencana Covid-19 menekan hidup rakyat Sabah?
Semua orang boleh berjanji ketika pilihan raya. Tetapi jelas, tidak semua mampu tunaikannya. Umpama habis madu sepah dibuang, habis PRN, Sabah dipinggirkan.