JOHOR BAHRU: Menteri Besar Hasni Mohammad bergegas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas selesai mesyuarat Umno negeri sebentar tadi.
Hasni ketika ditemui media berkata beliau sudah mendapat persetujuan daripada Umno Johor untuk mengadakan pilihan raya negeri.
“Saya akan buat sidang media pada 6 petang ini, kerana saya akan bermesyuarat dahulu dengan barisan Exco kerajaan negeri dan selepas itu melakukan pertemuan bersama Baginda Sultan Ibrahim.
“Semua akan dijelaskan pada 6 petang ini, yang utama saya sudah mendapat consent (persetujuan) oleh Umno untuk adakan PRN,” katanya ringkas.
Sebentar tadi Hasni mempengerusikan mesyuarat Umno peringkat negeri dihadiri semua 26 ketua bahagian yang berlangsung selama sejam.
Pemimpin yang dilihat hadir ialah Shahrir Samad, Azalina Othman Said, Hishammuddin Hussein, Dr Adham Baba, Mohamed Khaled Nordin dan Puad Zarkashi.
Isyarat DUN Johor dibubarkan mula hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu, apabila beberapa siri mesyuarat berlangsung membabitkan Badan Perhubungan Umno negeri bersama Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan pusat terutama selepas kematian ADUN Kempas, Osman Sapian, pada 21 Dis lalu.
Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan akan meneliti kedudukan semasa DUN dalam membuat pertimbangan sama ada PRN perlu diadakan atau sebaliknya.
Johor memiliki 56 kerusi DUN dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala Amanah (enam) dan PKR (tujuh).
Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Osman.
BACa juga: