PPBM mengingatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa sokongan terhadapnya adalah bersyarat dan perkara itu akan dibawa dalam majlis ceramah pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan, berkata PPBM yang mencalonkan Ismail sebagai Perdana Menteri dan bukannya Umno.
“Kita kena ingat Ismail menjadi Perdana Menteri hari ini bukan dicalonkan Umno. Bukan Umno calonkan dia.
“Kalau Umno silap-silap dia nak Zahid Hamidi (Presiden Umno jadi Perdana Menteri). Nak Zahid. Pening kepala nak jawab tetapi itulah hakikatnya,” katanya dalam kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang disiarkan secara langsung di Facebook Penerangan PPBM.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata syarat dikenakan PPBM itu tiada kompromi khususnya dalam isu membabitkan partinya dan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden PPBM adalah contoh terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Tak pernah ada jumlah dana banyak diperuntukkan untuk membantu rakyat dalam sejarah negara. Tetapi Muhiyddin buat, itu yang kita nak Ismail teruskan,” katanya.
Wan Saiful berkata, Ismail mungkin mahu meneruskan kecemerlangan Muhyiddin dalam memerintah negara, tetapi mendakwa mungkin ‘kluster mahkamah’ Umno tidak peduli.
“Apa dia buat, fokus kepada nak selamatkan diri, fokus kepada nak bolot kuasa dan fokus kepada jatuhkan semua orang lain termasuk yang bawa dia naik, sebab itu jadi pengajaran kepada kita,” katanya.
BACA juga: