BALIK PULAU: Seorang wanita warga Singapura dilaporkan maut apabila sebuah van persiaran yang membawa sekumpulan pelancong dari negara itu terbabas dan terjunam dari Bukit Genting, malam ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 8.14 malam.
Sebaik tiba, anggota mendapati van yang membawa 10 pelancong dari Singapura terbabas lalu jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter (20 kaki).
“Terdapat 11 orang mangsa di dalam van berkenaan dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dilakukan dibantu oleh beberapa PBS berdekatan,” katanya hari ini.
Pasukan bomba dan polis melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa untuk dibawa naik ke atas.
Mangsa yang cedera terdiri daripada tujuh wanita dan tiga lelaki, termasuk seorang pemandu van warga tempatan.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Balik Pulau dan Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat dilakukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau dan BBP Balik Pulau.
Katanya, maklumat lanjut berhubung status mangsa akan dikemas kini dari masa ke semasa.
Difahamkan, kesemua mangsa dikatakan berada di situ untuk menikmati makan malam di sebuah restoran di puncak bukit terbabit dan kejadian dikatakan berlaku semasa van berkenaan turun dari bukit.