Kemaskini:
Wanita Ditemui Mati Di Hotel, Suspek Bunuh Juga Mati Dengan Kesan Kelar Di Leher
KLANG: Seorang wanita ditemui mati di sebuah hotel di sini manakala lelaki yang didakwa membunuh wanita itu mencederakan lehernya dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Kedua-duanya, mangsa dan suspek berusia 58 tahun itu berkongsi alamat yang sama berdasarkan kad pengenalan mereka, namun hubungan antara kedua-duanya masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.10 pagi Isnin apabila pekerja hotel mendengar bunyi bising dari bilik mangsa di mana kedua-duanya mendaftar masuk pada malam sebelumnya.
“Apabila pekerja terbabit datang untuk membuat pemeriksaan, dia mendapati lelaki tersebut menyerang wanita berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa pekerja tersebut dengan segera menghubungi pihak polis berhubung kejadian yang berlaku.
“Sebaik sahaja polis tiba di lokasi, tidak sampai lebih dari lima minit, mangsa ditemui terbaring di atas katil manakala lelaki terbabit duduk di sebelah dengan keadaan berlumuran darah di bahagian leher. Lelaki itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Beliau berkata, polis percaya bahawa wanita itu dipukul dengan objek tajam di kepala sebelum sebelum mengelar di lehernya.
“Motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya.
Polis menemui tukul besi, pisau dan sebuah kereta Toyota Vios milik suspek.
Kes itu disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan versi awal, mangsa dipercayai merupakan isteri kepada suspek, sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media.
Seorang pensyarah bertindak memukul dan mengelar leher isterinya sebelum mengelar dirinya sendiri di sebuah hotel di Klang, Selangor awal pagi tadi.
Mangsa mati di tempat kejadian manakala pensyarah tersebut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Kejadian berlaku kira-kira jam lima pagi tadi.
ACP SHUKOR SULONG / KETUA POLIS DAERAH KLANG UTARA
“Penjaga kaunter telah terdengar satu jeritan dari seorang perempuan dan telah datang ke bilik tersebut dan dapati terdapat lelaki sedang menikam seorang perempuan yang terbaring di depan bilik hotel”.Melihat kejadian itu, pekerja terbabit terus menghubungi polis.
Suspek yang hanya berseluar pendek dikatakan bertindak mengelar dirinya tidak lama kemudian.
Sebaik polis tiba, suspek dilihat sedang duduk di atas katil manakala mayat isterinya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di pintu hotel.
Siasatan mendapati pasangan berusia 58 dan 49 tahun itu mendaftar masuk di hotel ini jam 11.45 malam semalam.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Motif sebenar kejadian masih disiasat.
…………….
Berita sebelum:
Pensyarah IPTA bunuh isteri
KLANG: Akibat krisis rumah tangga, seorang pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertindak menikam kepala serta mengelar leher isterinya sebelum mengelar lehernya sendiri di sebuah hotel di sini, awal pagi tadi.
Kejadian itu disedari seorang pekerja hotel kira-kira jam 5 pagi yang terdengar jeritan mangsa dikenali sebagai Norazlina Mohamed Saaid, 49, sebelum mendapati wanita itu sedang ditikam suaminya bertubi-tubi di depan pintu bilik hotel mereka.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, ketika pihaknya tiba di bilik tingkat bawah hotel itu, suspek ditemui di atas katil dengan berlumuran darah manakala isterinya sudah tidak bernyawa di atas lantai dalam keadaan separuh bogel.
“Polis kemudian menemui senjata dipercayai digunakan suspek iaitu sebatang tukul besi dan juga sebilah pisau lipat di dalam bilik berkenaan.
“Suspek cuba diselamatkan dengan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dekat sini, bagaimanapun dia disahkan meninggal ketika dalam perjalanan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
…
Berita awal:
Isteri mati ditikam, dikelar suami, seorang pensyarah
Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di badan dan kelar di leher dipercayai dilakukan suaminya yang merupakan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kejadian di sebuah hotel di sini, awal pagi ini.
Kejadian berlaku pada kira-kira 5 pagi tadi dengan seorang saksi melihat lelaki tersebut menikam isterinya di dalam bilik hotel. Saksi tersebut kemudian bertindak membuat laporan polis.
Lelaki itu dikenali sebagai Ghazalee Ahmad, 58, manakala isterinya adalah Norazlina Mohamed Saaid, 49, merupakan seorang suri rumah.