BINTULU: Banjir kedua yang melanda Bintulu sejak kelmarin disifatkan penduduk sebagai lebih buruk daripada banjir gelombang pertama hujung tahun lepas.
Seorang penduduk Kampung Kemunting yang terjejas banjir, Mohamad Takip Mokhtar, 64, semasa ditemui semalam berkata, air mula naik sejak pagi hingga malam kelmarin.
“Semasa air mula naik pada paginya, ia belum melimpah masuk ke dalam rumah, namun hujan tanpa henti sehingga petang menyebabkan paras air meningkat mendadak sekali gus memaksa kami mengangkat barang-barang dalam rumah ke tingkat atas untuk menyelamatkannya.
“Banjir ini merupakan yang terburuk pernah kami alami selepas banjir yang sama pada 29 Disember tahun lepas,” ujarnya.
Mohamad Takip berkata, berbanding banjir pada 29 Disember lalu, paras air hanya mencecah dua kaki lebih sahaja, tetapi kali ini sehingga tiga kaki.
“Banjir pada kali ini tidak cepat surut seperti sebelumnya,” katanya semasa ditemui di rumahnya yang terjejas teruk akibat banjir semalam.
Beliau berkata, banjir yang semakin buruk di kampung tersebut dipercayai berpunca daripada aliran air tersekat.
Menurut beliau, akibat rumah dimasuki air, peralatan dalam rumah turut rosak antaranya peti ais, mesin basuh, rak buku, empat buah alamari tetapi pakaian sempat diselamatkan.
“Bukan kami tidak bersedia tetapi kejadian ini tidak disangka berterusan begini menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang terutamanya barangan elektrik,” jelasnya.
Mengenai arahan berpindah, Mohamad Takip berkata: “Setakat ini kami belum menerima arahan untuk berpindah dan kami juga belum menerima apa-apa bantuan berkaitan daripada mana-mana pihak.”
“Sekiranya diarah berpindah, kami mungkin tidak dapat berbuat demikian memandangkan rumah kami dua tingkat, kami boleh tinggal di tingkat atas tetapi semua barang di tingkat bawah agak sukar untuk kami bawa ke tingkat atas,” katanya.
Rumahnya didiami oleh tujuh orang merangkumi dua keluarga terdiri daripada isteri, anak-anak dan cucu-cucunya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Junaidi Tali, 75, berkata ada barang-barang miliknya tidak dapat diselamatkan, tetapi sebahagiannya diselamat lebih awal melibatkan barang-barang kecil dalam rumah.
“Pada saya, ini merupakan banjir paling besar dan lama, serta untuk kali kedua banjir berlaku sejak pagi kelmarin.
“Saya dan ahli keluarga lain sedar banjir berlaku pada jam 5 pagi. Air masuk rumah setinggi setengah kaki, lalu kami mengambil semua kerusi dan barang-barang untuk diselamatkan sebelum semuanya tenggelam,” jelasnya.
Junaidi berkata, banjir kali kedua ini adalah lebih teruk berbanding banjir pertama lewat bulan lepas.
“Sejak 20 tahun saya mendiami kampung ini tiap-tiap bulan November dan Disember pasti banjir tetapi pada sebelah malam dan paginya surut tetapi kali ini dalam tempoh 24 jam air banjir tidak surut,” katanya.
Beliau turut berharap masalah banjir dan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk kampung itu turut diberi perhatian, khususnya oleh para pemimpin negeri.
“Terdapat lebih 80 buah rumah di kampung ini, namun tidak semua yang dilanda banjir dan rumahnya pula dibina dua tingkat yang mana memudahkan untuk mereka menyelamatkan diri,” katanya.
Begitupun, katanya, beliau berharap kerajaan mengambil perhatian meskipun banjir tidak dapat dielak kerana apabila hujan dan sistem perparitan yang tidak begitu baik, aliran air pasti tersekat sehingga menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Dalam pada itu, penduduk Abu Bakar Omar berkata, beliau menyedari air mula naik pada jam 4 pagi kelmarin dan masih belum surut walaupun selepas 24 jam.
“Ini yang terburuk berbanding banjir pertama pada 29 Disember tahun lepas,” katanya semasa ditemui di pusat pemindahan banjir di Surau Darul Aman Kampung Kemunting, semalam.
Berikutan itu, katanya, beliau bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pasukan Bomba Sukerela Kemunting berusaha membantu memindahkan
mangsa di pusat pemindahan di sini, selain mendapatkan bantuan daripada agensi penyelamat lain. Menurut beliau, seramai 153 orang dari 36 keluarga di Kampung Kemunting telah dipindahkan di situ sejak jam 5 petang kelmarin dan mangsa turut menerima bantuan selimut, tilam dan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu.
Jelasnya, Jabatan Kesihatan turut melawat dan mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa banjir semalam, manakala pihak polis memantau keadaan mereka.
Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing bersama kakitangan Pusat Ahli Parlimen Bintulu serta para pegawai dari Pejabat Residen Bintulu juga melawat mangsa semalam.