Seorang nenek berusia 85 tahun ditemui mati dalam keadaan separuh bogel selepas disamun di rumahnya di Kampung Hutan Hilir, Tumpat, Kelantan.
Mulut mangsa turut disumbat tuala.
Dalam kejadian itu, barang kemas dan sejumlah wang tunai milik mangsa lesap.
Wan Mariam Wan Mahmud yang tinggal seorang diri ditemui mati oleh cucunya, Mohd Faizal Abdul Samad, 30 tahun kira-kira jam 3.30 pagi tadi.
Setengah jam sebelum itu Mohd Faizal dikatakan menerima panggilan daripada mangsa, namun tidak mendengar sebarang suara.
Dia kemudian ke rumah neneknya dan mendapati pintu dapur serta bilik tidur terkopak sebelum menemui mangsa yang telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau tidak menolak wujud unsur jenayah berdasarkan barang kemas dan sejumlah wang tunai milik mangsa hilang.
Bagaimanapun tiada unsur serangan seksual.