KEMASKINI:
Khabar angin mengenai wanita mati dibakar teman lelakinya ternyata benar apabila Pakar Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan serpihan tulang ditemui di Kampung Tok Keramat adalah tulang manusia.
Polis juga mengesahkan menemui beberapa serpihan tulang yang terbakar hasil pencarian dilakukan di kawasan berhampiran rumah wanita yang dilaporkan dibunuh dan dibakar teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Sebarang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, berikutan itu pihaknya kini sedang mengesan suspek juga teman lelaki mangsa.
“Tumpuan kini adalah untuk mengesan suspek berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kami sebelum ini menerima maklumat mengenai kejadian ini daripada orang awam,” katanya.
Difahamkan, mangsa adalah pengusaha kedai runcit dikenali sebagai Intan berusia lewat 20-an.
Usaha pencarian saki baki tulang berkenaan sedang diteruskan membabitkan unit forensik, anjing pengesan (K-9) dan pasukan penyelam Pasukan Polis Marin (PPM).
BUKIT MERTAJAM: Beberapa ketulan tulang dipercayai milik manusia ditemui di kawasan hutan di Kampung Datuk Keramat, Juru di sini, Rabu.
Sumber polis berkata ketulan tulang dipercayai jari tangan dan jari kaki dengan kesan terbakar itu ditemui dalam kawasan hutan berkenaan kira-kira pukul 1 pagi.
“Polis menjalankan pemeriksaan di kawasan hutan yang terletak tidak jauh dari kediaman mangsa selepas menerima laporan daripada anggota keluarga mereka yang mendakwa wanita berkenaan telah dibunuh.
“Menurut anggota keluarga itu, mereka ke rumah mangsa itu pagi semalam tetapi tidak dibenarkan masuk dan hanya teman lelaki wanita berkenaan kelihatan dalam keadaan mencurigakan,” katanya di sini.
Beliau berkata lelaki itu kemudian dilapor meninggalkan rumahnya tanpa berkata apa-apa kepada anggota keluarga itu walaupun berulang kali ditanya mengenai wanita tersebut.
Menurut sumber itu, anggota keluarga berkenaan bertindak masuk ke dalam rumah untuk memeriksa dan mendapati kesan darah di beberapa bahagian di rumah itu.
Beliau berkata sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan turut menemui kesan darah itu dan hasil pemeriksaan lanjut di kawasan hutan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah berkenaan, polis menemui beberapa ketulan tulang.
“Berdasarkan pemeriksaan, polis tidak menolak kemungkinan tulang yang ditemui itu mempunyai kesan bakar,” katanya.
Beliau berkata operasi mencari oleh polis diteruskan pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada tulang yang ditemui itu adalah milik manusia.
“Kami perlu menunggu keputusan daripada forensik,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh dan dibakar ditemui di Kampung Tok Keramat Dekat Juru, Pulau Pinang malam tadi.
Mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri yang menghilangkan diri.
Menurut sumber polis, anak saudara mangsa mendapati mangsa tidak berada di rumah dan melihat kesan darah di sekitar rumah.
Suspek yang juga suami mangsa dilihat dengan cangkul di kawasan hutan belukar di hadapan rumah sebelum menghilangkan diri.
Ahli keluarga memeriksa kawasan berkenaan dan mendapati mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar.
Pasukan Forensik Polis dipercayai menemui tulang dan gigi mangsa di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Forensik Pathologi Hospital Pulau Pinang,Datuk Doktor Bhupinder Singh juga dibawa ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Akibat keadaan yang terlalu gelap, siasatan di tempat kejadian ditangguh malam tadi dan akan disambung hari ini.
Polis masih mencari suami mangsa untuk membantu siasatan.