Perhimpunan Bersih 4 selama dua hari mulai esok hanyalah satu dakyah golongan berkepentingan politik untuk menjatuhkan kerajaan semata-mata menurut pandangan pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam tinjauan, rata-rata individu yang ditemui berkata mereka sedar bahawa apa yang diperjuangkan oleh perhimpunan itu sudah terkeluar dari landasan sebenar.
Pesara kerajaan, Rokiah Mohd Arriff, 62, berkata pada asalnya perjuangan Bersih sekadar menggesa proses pilihan raya umum (PRU) di negara ini dibuat dengan bersih dan telus, namun ia kini dilihat menjadi satu medan melepaskan dendam politik yang mahu kerajaan sedia ada jatuh.
“Kalau diikutkan PRU akan datang dalam dua atau tiga tahun lagi. Jadi kenapa perhimpunan itu dibuat sekarang apatah lagi ketika kita sedang menunggu untuk meraikan detik bersejarah iaitu Hari Kebangsaan 2015?,” katanya.
Katanya tindakan perhimpunan mereka dirancang di ibu negara, Kota Kinabalu dan Kuching seolah-olah mahu memberi persepsi buruk terhadap negara kepada dunia luar.
Pesara tentera M. Puspanathan, 53, berkata beliau tidak kisah sekiranya perhimpunan Bersih 4 itu diadakan jika ianya memberi kebaikan kepada rakyat.
Namun katanya penganjuran perhimpunan itu jelas kelihatan ia dibuat semata-mata untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
“Apa yang dicanang-canangkan adalah perhimpunan ini dibuat untuk kebaikan rakyat, namun adakah mereka fikir orang ramai takut keluar rumah, perniagaan di lokasi perhimpunan terpaksa ditutup dan kedatangan pelancong juga akan terjejas… jadi apa yang baiknya untuk rakyat?,” katanya.
Katanya rakyat seharusnya memberi ruang kepada pemimpin negara untuk berusaha memperbaiki keadaan ekonomi termasuk kejatuhan Ringgit Malaysia yang disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia.
“Mereka ini juga yang sibuk mahu kerajaan menaikkan semula nilai mata wang negara, tetapi kalau jalan perhimpunan yang boleh mengundang keadaan huru-hara dan tidak tenteram dipilih, adakah ini boleh meningkatkan semula ringgit kita?,” soalnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia Dzulkarnain Taib menganggap tindakan pihak yang berkepentingan politik itu sebagai usaha untuk mensabotaj ekonomi negara.
Katanya, peganjuran Bersih 4 juga adalah usaha untuk memporak-perandakan keamanan dan semangat muhibbah antara kaum di negara ini.
“Justeru kami menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mana-mana badan atau pertubuhan yang ‘menangguk ikan di air keruh’ ketika kerajaan bertungkus lumus untuk menyelesaikan masalah kejatuhan nilai mata wang ringgit serta kelesuan (ekonomi) akibat krisis kewangan global,” katanya.
Bagi Emma Yusri, 27, beliau bimbang sekiranya perhimpunan seumpama itu kerap diadakan akan menyebabkan budaya perhimpunan jalanan dan rusuhan akan menjadi ‘tabiat’ rakyat Malaysia.
Pegawai undang-undang itu berkata budaya perhimpunan sehingga mencetuskan keadaan hura-hara ini juga sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam.
“Islam mengajar umatnya bahawa kalau tidak puas hati, doa itu adalah senjata mukmin, bukannya dengan cara berhimpun merusuh, membuat kacau di tempat awam dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu seorang penuntut dari Acheh, Indonesia, Tunku Muhammad Radiyan S. Narukaya, 22, yang belajar di negara ini risau kerana pada kebiasaannya perhimpunan jalanan sering bertukar menjadi rusuhan yang agresif sehingga mendatangkan huru-hara dalam tempoh yang panjang.
Penuntut di sebuah universiti swasta di Lembah Klang itu bagaimanapun percaya golongan muda di negara ini masih berfikiran terbuka dan tidak menjadikan perhimpunan atau rusuhan sebagai platform untuk melepaskan ketidakpuasan hati mereka.
“Malaysia selama ini dilihat sebagai negara yang stabil ekonominya. Justeru kekalkanlah momentum yang baik ini agar Malaysia yang saya sudah anggap seperti rumah kedua ini sentiasa aman dan damai serta terhindar dari pengaruh pihak-pihak anarkis ini” katanya.