Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pembayaran RM169,711 kepada ibu seorang pelajar yang terkorban dalam nahas pesawat ketika beliau menjadi juruterbang pelatih, kira-kira enam tahun lalu.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera mendapati bahawa Nowran Begam Mohamed Saliff telah membuktikan kesnya terhadap jurulatih penerbangan S. Natha Kumar Devar dan Kelab Penerbangan Diraja Selangor (RSFC).
Nowran Begam memfailkan saman ke atas kedua-dua defendan kerana kehilangan anaknya, Mohamed Ihsan Saiyed Abu Thahir, yang maut apabila pesawatnya terhempas pada 29 Okt, 2009.
Pesawat ringan Eagle dua tempat duduk yang dinaiki oleh Mohd Ihsan dilaporkan terhempas dalam kawasan hutan di Lembah Beringin, Hulu Selangor, dan juruterbang pelatih itu dipercayai mati di tempat kejadian.
Dalam penghakimannya, Vazeer berkata defendan mempunyai tanggungjawab dari segi penjagaan terhadap si mati sebagai pelajar.
“Dia (si mati) mempunyai perjanjian berkontrak untuk menjalani latihan penerbangan. Saya mendapati bahawa pengajar yang mengajar dan membenarkan penerbangan yang mengorbankan si mati melakukan kesilapan sepenuhnya.
“Pengajar mengarah dan membenarkan penerbangan solo si mati ketika beliau sedar, atau sekurang-kurangnya sepatutnya sedar, mengenai keadaan cuaca buruk dalam penerbangan yang si mati akan lalui.
“Si mati tidak dilatih untuk memasuki kelompok awan dalam keadaan ini. Apabila si mati memasuki keadaan cuaca buruk seperti itu, beliau berkemungkinan mudah hilang kawalan ke atas pesawat dan terhempas,” katanya.
Vazeer juga mendapati bahawa terdapat bukti bahawa RSFC sebagai sekolah penerbangan tidak mematuhi dengan ketat pelan pelajaran sebelum si mati dibenar melakukan penerbangan solo.
Beliau berkata RSFC tidak mematuhi sukatan pelajaran dan memastikan si mati menamatkan semua pelajarannya sebelum dibenar melakukan penerbangan solo.
“Pelajaran 25 dan 26 sepatutnya melatih si mati dalam menangani keadaan kecemasan, seperti situasi si mati sebelum nahas itu. Pelajaran 30 sepatutnya melatih si mati untuk menyesuaikan diri dengan pengubahan laluan yang si mati sepatutnya lakukan untuk mengelakkan cuaca buruk.
Selain itu, Vazeer mendapati bahawa sebab-sebab pengecualian yang dinyatakan dalam kontrak tidak terpakai untuk membebaskan defendan daripada liabiliti secara tort kepada plaintif dan si mati dalam situasi berdasarkan fakta kes.
Daripada jumlah tersebut, mahkamah memerintahkan pembayaran RM11,839 bagi kos pengebumian, kos sijil kematian, kos mengeluarkan LA dan Sijil Faraid dan pakaian si mati yang rosak.
Bagi hilang pendapatan dan saraan, mahkamah membenarkan pembayaran RM127,872 kepada plaintif. Mahkamah menawarkan pembayaran RM30,000 sebagai ganti rugi am.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Okt, 2012, Nowran Begam memohon RM242,239.20 sebagai ganti rugi khas atas kemungkinan kehilangan pendapatan, kos pengebumian dan pelbagai kos lain. Beliau memohon RM500,000 sebagai ganti rugi punitif.
Di luar mahkamah, Nowran Begam berkata “Walaupun keputusan mahkamah telah dibuat, ia tidak akan mengembalikan anak saya (beliau kemudiannya gagal meneruskan kata-kata dan menangis)”.
————–
Pesawat Ringan Terhempas Di Lembah Beringin – Juruterbang Pelatih Maut
Lembah Beringin
Hulu Selangor
29 September 2009
Seorang juruterbang pelatih Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Mohd Ihsan Sayed Abu Tahir, 22 tahun terbunuh setelah pesawat ringannya terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas petang tadi.
Mangsa tercampak kira-kira 30 meter dari pesawat yang musnah bahagian kokpit dan sayap.
Pesawat Eagle dengan nombor pendaftaran 9M-CLK ini, dalam penerbangan latihan dari Ipoh ke Subang.
Mohd Ihsan melakukan penerbangan solo menggunakan pesawat dua tempat duduk ini.
Jam 4-40 petang, pesawat hilang dari skrin radar menara kawalan dan terputus hubungan.
Jam 6-20, polis dimaklumkan mengenai kejadian dan pesawat dipercayai hilang di ruang udara sekitar Lembah Beringin dan Bukit Beruntung.
Gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan serta-merta membabitkan kira-kira 50 anggota penyelamat terdiri dari polis, anggota bomba dan orang awam.
Dan kira-kira jam 8-35 malam, bangkai pesawat malang ini berjaya dikesan oleh helikopter Unit Udara Polis PDRM di satu kawasan hutan kira-kira 3 kilometer dari Kelab Golf Lembah Beringin.
Helikopter kemudian melakukan pendaratan berhampiran lokasi kejadian dan pemeriksaan kemudian menemui juruterbang tercampak bersama kerusinya kira-kira 30 meter dan telah meninggal dunia.
Pesawat ini dipercayai cuba melakukan pendaratan cemas ketika hujan lebat dan cuaca berkabus.
Tayar pesawat ringan ini dipercayai tersangkut pada longkang menyebabkan kesan hentakan kuat sehingga menyebabkan Mohd Ihsan tercampak.
Mayat dibawa kelaur dari lokasi kejadian jam 10-15 malam dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk bedah siasat.