“Saya terkejut melihat sebuah pesawat berada dalam air dalam keadaan kipas di bahagian hadapannya masih berpusing,” kata Azhar Shahadan yang melihat pesawat persendirian Piper 32 terjunam di atas laut kira-kira 100 meter dari Pantai Teluk Dalam, Kampung Tersusun Pulau Pangkor di sini hari ini.
Azhar, 46, berkata kira-kira 1.10 tengah hari tadi, dia dan rakannya Roslan Bakar, 40-an masing-masing menaiki motosikal melalui kawasan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian apabila terdengar bunyi seakan-akan pesawat terhempas dalam laut.
“Kami kemudian terlihat pesawat sudah berada dalam air dan seorang mangsa wanita sedang keluar dari pesawat itu, berenang ke tepian pantai untuk menyelamatkan diri.
“Rakan saya Roslan kemudiannya berenang ke dalam laut untuk menyelamatkan tiga lagi mangsa lelaki yang masih berada dalam pesawat berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Azhar kemudian menghubungi pihak ambulans selepas melihat seorang mangsa dipercayai juruterbang pesawat itu yang mengalami kecederaan di bahagian mulut, manakala mangsa lain mengalami luka-luka ringan.
“Kejadian ini mengingatkan saya pada peristiwa 16 tahun lalu yang mana kejadian seumpama ini berlaku di lokasi yang sama,” katanya.
Seorang penduduk Osman Bakar, 39, berkata dia yang baru selesai menangkap ikan di kawasan berhampiran terdengar bunyi dentuman sebelum bergegas ke kawasan berkenaan.
“Saya sudah mengagak bunyi letupan itu dari sebuah pesawat kerana lokasi pusat penerbangan yang berada berhampiran pantai tersebut.
“Saya lihat pesawat itu sudah terbalik dengan keadaan roda di atas dan saya membantu beberapa mangsa keluar dari pesawat berkenaan,” katanya.
Pesawat itu terjunam dalam laut dan terbalik ketika ingin melakukan pendaratan kecemasan.
Pesawat berkenaan terpaksa membuat pendaratan kecemasan kerana ekor kapal berkenaan tersangkut pada pagar lapangan terbang bagi pelepasan dan pendaratan jarak dekat (STOL) yang terletak berhadapan pantai berkenaan.