Seorang wanita parah manakala dua lelaki cedera ringan apabila buaian besar di tapak Pesta Ria di PD Waterfront, tumbang tengah malam tadi. Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 12.06 minit tengah malam tadi. Pegawai Bomba Kanan Dua, Sulong Addin memaklumkan enam anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Seorang wanita didapati terperangkap pada kerusi buaian yang tumbang. Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga untuk memotong rantai buaian setinggi kira-kira 3 meter. Ia bagi membolehkan buaian dan mangsa yang terperangkap dibawa turun.
Mangsa yang dikenali sebagai Hawa Liana Kamar Bashah, 21 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Dua lagi mangsa iaitu Abdul Rahman Mohamad dan Nor Aminur Rashid Nor Hisham yang menaiki buaian berasingan, tercampak ke bawah. Mereka hanya cedera ringan. Punca kejadian masih disiasat.