PASIR PUTEH: Kira-kira 80 peniaga Pasar Selising, dekat sini, hilang punca pendapatan apabila gerai mereka di pasar berkenaan musnah dalam kebakaran, sebentar tadi.
Peniaga, Mohd Rafi Arifin, 51, berkata beliau bergegas ke pasar sebaik mengetahui mengenai kejadian itu, namun gagal menyelamatkan barangan di kedai runcit dan menjual santan miliknya.
“Api merebak terlalu cepat dan saya hanya mampu melihat saja tempat kami berniaga hangus terbakar,” katanya.
Bapa kepada lapan anak itu yang telah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu kini buntu kerana hilang satu-satunya sumber pendapatan.
Mohd Fikri Ali, 49, pula berkata, isterinya, Rahimah Mat Tahir, 46, yang berniaga barangan runcit di situ hampir pengsan sebaik mengetahui kejadian.
Katanya, selain barangan jualan seperti makanan mentah dan beras, musnah, mereka turut rugi RM1,000 wang jualan hari ini yang disimpan di dalam kedai.
Setiuasaha Majlis Perbandaran Pasir Puteh, Ahmad Shargowi Deraman berkata, pasar berkenaan menempatkan hampir 80 peniaga, tidak termasuk peniaga di tepi pasar.
Katanya, pasar berkenaan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 6 petang.
“Sebaik semua peniaga pulang, seorang penjaga pasar akan membuat rondaan dan mengunci pintu pagar, namun kebakaran berlaku selepas rondaan dibuat dan kita sedang tunggu punca kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifle Ali yang melawat tempat kejadian, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi memberi bantuan kepada peniaga yang terbabit dalam kejadian itu.
Penghulu Pembangunan Mukim (PPM) Selising, Abdul Aziz Che Ali, berkata punca kebakaran pasar yang sudah berusia kira-kira 50 tahun itu dipercayai akibat litar pintas dari sebuah gerai di situ.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifle Ali yang melawat tempat kejadian, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi memberi bantuan kepada peniaga yang terbabit dalam kejadian itu.