Sembilan rumah setinggan musnah dalam satu kebakaran di Jalan Kubur, Pantai Dalam di sini hari ini.
Penolong Penguasa Bomba, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Husaini Mahidin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 12.04 tengah hari tadi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
“Lima rumah musnah sepenuhnya, empat buah rumah terbakar kira-kira 70 peratus. Dua buah kenderaan turut terbakar. Tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Operasi memadam kebakaran itu melibatkan 42 anggota dan enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Cheras, Seputeh, Hang Tuah dan Pudu.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 1 petang tadi,” katanya.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd. Din Aziz, 48, yang bekerja sebagai kontraktor berkata dia dan keluarganya sejumlah lima orang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran itu.
“Ketika kejadian, saya sedang membaiki bumbung rumah yang bocor… tiba-tiba saya lihat api marak di rumah belakang.
“Saya kelam-kabut lantas menyuruh kakak ipar, isteri dan dua anak saya menyelamatkan diri, manakala saya hanya sempat mencapai dokumen-dokumen penting sebelum rumah hangus,” katanya yang 18 tahun menetap di situ.
Menurut Mohd. Din, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas dari rumah jirannya yang tidak berpenghuni ketika itu.
–