Petugas pembersih pantai yang menjumpai ‘flaperon’ MH370 tahun lalu, menemui objek dipercayai petunjuk kedua mengenai misteri pesawat terbabit di Pulau Reunion, dekat Lautan Hindi, semalam.
Menurut Johnny Begue, objek berdimensi 40 X 20 sentimeter dan mempunyai tanda berwarna biru pada permukaannya itu ditemui ketika beliau melakukan senaman pagi di tepi pantai.
“Objek itu ringan dan permukaan bawahnya berwarna kelabu, malah pembuatannya hampir sama dengan sayap (flaperon) yang saya temui dulu,” katanya ketika ditemui AFP di Saint-Denis, dekat Pulau Reunion, hari ini.
Flaperon yang berfungsi sebagai daya angkat pesawat ditemui di Pulau Reunion, 29 Julai tahun lalu, sebelum pasukan penyiasatan dianggotai Australia dan Malaysia melakukan analisis lanjut terhadap objek berkenaan.
Berdasarkan beberapa ciri penting, khususnya nombor siri pengilang dan warna flaperon berkenaan, ia disahkan milik MH370 yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China, 8 Mac 2014.
Pengumuman yang juga petunjuk pertama selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang selama 508 hari dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu sidang media tergempar.
Begue berkata, beliau kerap turun ke pantai untuk mencari serpihan pesawat sejak pasukan penyiasatan mengesahkan flaperon yang ditemuinya adalah milik MH370.
“Lazimnya, banyak benda akan terdampar di pantai selepas Pulau Reunion dilanda cuaca buruk kerana ombak yang kuat akan mengaut pelbagai objek dari dasar,” katanya.
Begue turut menjelaskan polis atau mana-mana pihak berkaitan belum menghubunginya bagi memaklumkan perkembangan lanjut mengenai objek terbaharu itu.
Penemuan Begue dilaporkan tiga hari selepas penyiasat bebas, Blaine Gibson menjumpai objek berukuran kira-kira semeter, dipercayai penstabil mendatar pesawat jenis Boeing 777 di Mozambique, Afrika.
Pasukan penyiasat Malaysia dan Australia kini dalam usaha mengenal pasti dan melakukan analisis lanjut, sebelum mengemukakan sebarang pengesahan sama ada ia petunjuk baharu mengenai MH370.