BUKIT TAGAR, HULU SELANGOR: Wanita berusia 50-an maut akibat tercampak selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam kira-kira 10 meter di Kilometer 422.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh dekat sini kira-kira jam 2 petang tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan dua lagi mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva masing-masing seorang lelaki dan wanita cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pusat kawalan bomba menerima panggilan jam 2.29 petang sebelum sebuah jentera dan ambulans bomba bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum dibawa naik ke bahu jalan.
“Seorang mangsa yang maut dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan diserahkan kepada polis,” katanya.
Menurutnya, mangsa lelaki yang cedera dikenali Hew Boon Siang, 29, manakala dua wanita lagi belum dikenalpasti identiti.
Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh.