APA yang difikirkan entahlah, apabila ada dari kalangan pemimpin muda dalam DAP dan PKR menganggap kehidupan rakyat lebih terbela jika berada di bawah kepimpinan Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.
Ketika berhujah dalam forum di Keadilan Square di Perai semalam, ada segelintir pemimpin berumur muda itu menghasut kononnya jika Umno kalah maka kualiti hidup rakyat terus ‘transform’ menjadi harmoni.
Cerita merepek sama sekali. Hendak pilih calon Perdana Menteri pun belum selesai inikan pula hendak tadbir negara.
Mungkin semasa mereka berkata demikian, anak-anak muda DAP dan PKR itu sedang berada dalam dunia halimunan kerana berkata-kata tanpa merujuk di bumi yang nyata.
Celikkan mata dan lihat apa terjadi di dua negeri yang dikuasai parti Pakatan Harapan iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Bukan sahaja politik dalaman mereka huru hara, kehidupan rakyat pula bagai hidup dalam ‘neraka dunia’. Malah, dunia sukan bola sepak pun kucar kacir hasil ‘buah tangan’ pemimpin mereka di Selangor.
Para peminat bola sepak di Selangor bakal kecewa apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mungkin akan menarik diri dari Liga Malaysia 2017 yang akan bermula 21 Januari depan kerana gagal mendapat RM15 juta.
Mereka berbuat demikian kerana mahu mengutamakan kebajikan pemain, disebabkan tiada langsung bantuan diberikan Kerajaan Selangor.
Buat apa berbangga ada rizab RM4 billion, jika RM15 juta pun gagal disalurkan untuk bolasepak Selangor.
Jika isu sukan pun sudah kucar kacir, apatah lagi isu keperluan asas rakyat.
Walaupun ramai pemimpin dan penyokong PH yang dikuasai DAP ketawakan tindak tanduk Pengerusi Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang bertuala menuju Pejabat Menteri Besar (MB) Selangor pada 21 Disember lalu, namun itulah realitinya.
Selak kembali risalah Manifesto Pakatan Rakyat Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke 13, perkara pertama yang mereka (PKR, DAP, PAS ketika itu) berjanji akan melindungi hak rakyat untuk mendapatkan air bersih pada harga berpatutan dan membuka peluang rakyat memiliki saham air.
Namun, bukan kata harga air berpatutan, malah jumlah meterpadu yang diperlukan oleh rakyat pun sekarang ini masih membelenggu hidup mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Air sudah terganggu 7 kali di Selangor, sampah gagal diurus dengan baik, jalan berlubang lubang di Selangor, demam denggi no. 1 di Selangor. Yang sedapnya mereka yang duduk di Disneyland dan berkereta tujuh.
Tak kurang ‘sengsaranya’ juga kehidupan di Pulau Pinang yang juga dikuasai oleh PH. Tarif bil air sudah naik mendadak di sejak DAP memerintah Penang.
Jangan kita lupa, pada Ogos 2016 lalu, lebih dari 15,000 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang terpaksa hidup dalam ‘dunia tandus’ tanpa air selama 10 jam. Ia disebabkan ketidakcekapan pengurusan air di negeri milik DAP itu.
Selepas ‘sengsara’ kerana 10 jam tiada air di Pulau Pinang, beberapa bulan selepas itu rakyat negeri berkenaan kembali ‘merana’ pula dengan banjir yang menenggelamkan negeri itu. Ini termasuklah ketika perayaan Deepavali 29 Oktober 2016 yang bertukar suram kerana perayaan itu ‘didatangi’ air setinggi 0.8 meter.
Namun, malapetaka banjir itu terus menghantui rakyat hingga November 2016. Yang sedihnya, kelibat Ketua Menteri DAP Lim Guan Eng tidak pula nampak di kawasan-kawasan teruk dilanda banjir.
Apa dosa rakyat hingga terpaksa menghadapi banjir ini? Menurut kajian yang disahkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, punca rakyat ‘sengsara’ menjadi mangsa banjir adalah kerana kerajaan negeri tidak cekap mengurus pembangunan yang tidak terkawal.
Sampai muncul “air terjun teh tarik” baru di Paya Terubong.
Tak cukup dengan itu, sebanyak 29 kampung kampung Melayu di Pulau Pinang sedang berisiko ‘hilang dari peta’ akibat menerima ancaman pembangunan tak terancang dari Kerajaan DAP negeri berkenaan.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, kebanyakannya dari daerah Timur Laut.
Malah katanya juga, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIPP) pula akan menyebabkan ‘kehilangan’ kampung tradisi di daerah Barat Daya pula.
Malangnya, majoriti kampung itu diduduki mereka yang berbangsa Melayu.
Jelas sekali hujah pemimpin muda PKR dan DAP itu meleset dan tak berpijak di bumi nyata walau sedikit pun. Rakyat di dua negeri dikuasai mereka semuanya merintih terhimpit dengan bebanan hidup hasil daripada tindakan kerajaan negeri.
Ini berbeza dengan kerajaan BN yang dinaunggi Umno. Tak perlu ambil banyak perkara, cukup sekadar kita lihat bagaimana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) lebih dipilih rakyat berbanding inisiatif lain dari kerajaan negeri.
Daripada 7.3 juta penerima BR1M, jangan tak percaya 14 peratus daripadanya adalah rakyat Selangor. Malah setiap tahun dari 2014, ada penambahan penerima BR1M dari Selangor iaitu lebih kurang 80,000 setiap tahun.
Di Pulau Pinang pula, Kerajaan BN sudah banyak membantu rakyat. Contohnya peruntukan sebanyak RM726 juta naik taraf Hospital Balik Pulau, bina blok bertingkat Hospital Seberang Jaya (RM400 juta), bina klinik kesihatan di Bandar Perda (RM25 juta), bina sekolah menengah di Kepala Batas dan Tasek Gelugor (RM92.16 juta), dua projek pelaburan dan ekonomi (RM20.91 juta), tiga projek kesejahteraan rakyat (RM123.22 juta) dan bantuan projek tebatan banjir Pulau Pinang sebanyak RM2.05 bilion sejak 2007 hingga sekarang.
Nasihat kepada para pemimpin muda PKR dan DAP, lain kali eloklah mereka mencuci otak sendiri terlebih dahulu agar tidak hanya mahu mencari salah orang lain, sedangkan diri sendiri penuh dipalit ‘noda-noda kezaliman’ kepada rakyat.