#MalaysiaMemilih #MalaysiaBaru #FaktaBukanAuta #PenerokaMemilih #PekebunKecilMemilih
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya dapat pulang ke Pekan bagi menyambut Syawal dan saya ambil peluang ini untuk turut bertemu dengan masyarakat pelbagai peringkat usia dan bangsa sebagaimana lazim saya lakukan sebelum ini.
Rata-rata rakyat dalam kawasan saya terdiri peneroka FELDA dan pekebun kecil.
Saya berpeluang berbicara dan mendengar luahan keresahan mereka terhadap harga minyak kelapa sawit dan penyusutan permintaan dari luar negara akan komoditi itu.
Ramai yang resah kerana Kesatuan Eropah akan meningkatkan sekatan terhadap import minyak sawit dari Malaysia, manakala China, yang dahulunya berada di tempat keempat pengimport terbesar bagi minyak sawit dan tahun lepas di tempat kedua terbesar akibat perhubungan diplomatik dan perdagangan yang telah bertambah baik, berkemungkinan akan mengurangkan pembelian minyak kelapa sawit ekoran perkembangan selepas Pilihanraya Umum ke-14.
Hari Khamis lalu, harga minyak sawit mentah menyusut bagi hari ke-9 berturut-turut di mana harga kini adalah RM2,300 setiap tan.
Turut dilaporkan, eksport minyak kelapa sawit kita bagi 10 hari pertama bulan Jun jatuh sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.
Salah satu faktor kepada kejatuhan ini adalah ekoran tindakan kerajaan mengenakan cukai 5 peratus terhadap eksport minyak kelapa sawit dan penganalisa pasaran berkata ia adalah faktor utama penyusutan permintaan dan penurunan harga.
Cukai eksport ini diteruskan pada 5 peratus pada bulan Julai dan seterusnya.
Kerajaan BN sebelum ini telah menggantung cukai berkenaan bagi empat bulan pertama tahun ini dalam memastikan pendapatan pekebun kecil tidak terjejas dan pasaran minyak kelapa sawit Malaysia terus berdaya saing dan kompetitif di pasaran antarabangsa.
Bagi pihak pekebun kecil di Pekan dan kesemua peneroka di Malaysia, saya menggesa Kerajaan Pakatan untuk menggantung cukai eksport ini sehingga penghujung tahun ini atau sekurang-kurangnya sehingga harga dan permintaan pasaran kembali pulih.
Kerajaan baharu juga tidak boleh membisu lagi dengan keputusan Kesatuan Eropah (EU) Jumaat lalu untuk mengurangkan dan menghentikan impot minyak kelapa sawit demi menamatkan penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar pengangkutan pada 2030.
Kita perlu membantah langkah mereka ini dan berunding dengan EU serta-merta kerana mereka merupakan destinasi minyak sawit terbesar untuk negara.
Dalam semangat Hari Raya ini, usahlah menjadikan isu ini sebagai polemik politik kerana industri minyak kelapa sawit kerana kehidupan beratus ribu pekebun kecil serta peneroka bergantung kepadanya.
Sebaliknya, kerajaan baharu patut mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah harga dan permintaan minyak sawit dengan serta-merta.
Najib Tun Razak.
1) NR Facebook
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155408277380952&id=157851205951
2) NR Twitter
https://twitter.com/NajibRazak/status/1008625398534496256?s=19