Enam anggota Bomba dan Penyelamat yang mati lemas dalam kejadian di sebuah lombong di Puchong, petang semalam, diiktibarkan sebagai syahid.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, iktibar itu berasaskan kepada nas hadis Riwayat al-Bukhari (653) yang bermaksud, “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu
orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah”.
“Berita kematian enam anggota Bomba dan Penyelamat kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.
“Kepada rakan kita yang terkorban ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.
“Mereka adalah insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutama dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kejadian enam anggota Bomba dan Penyelamat yang lemas ketika menyelamat seorang remaja dilombong berhampiran Taman Putra Perdana, Cyberjaya dekat Selangor kira-kira jam 5.19 petang semalam.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang, manakala Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hafdzul Malik Shaari, 25, dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.
Menurut Dr Zulkifli, semua mangsa adalah syuhada dan semoga Allah menempatkan mereka bersama para Nabi, Al-Siddiqin dan Syuhada.
Katanya, atas asas itulah, timbul perasaan dukacita di atas tragedi yang berlaku, tetapi gembira atas semangat yang ditunjukkan, yang disifatkan luar biasa.
“Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada ini.
“Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha-Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya.
“Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha-Allah akan datang bantuan daripada-Nya,” katanya.
Beliau meminta kepada rakyat Malaysia, agar menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta.
Kepada kerajaan Malaysia, katanya, beliau mengesyorkan agar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat mereka untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga.
“Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baharu yang sanggup berkorban apa sahaja,” katanya.
…………….