Melalui Skim FundMyHome, pembeli perlu bayar “deposit” atau wang pendahuluan 20 peratus.
Saya belek laman web FundMyHome tadi, harga deposit yang perlu dikeluarkan berada dalam lingkungan RM65,000 dan ke atas.
Ada yang lebih.
Cuba lihat gambar dari portal berkenaan.
Jika ada sesiapa yang berminat, perlu membayar “deposit” sekurang-kurangnya RM100,000 dan unit ini hanya dijangka siap pada tahun 2020.
Nampaknya Menteri Kewangan kita tidak faham apa keperluan dan kemampuan rakyat.
Kebanyakan pembeli rumah pertama terutamanya anak muda sebenarnya ada kesukaran dalam menyediakan wang pendahuluan atau deposit.
Saya khuatir akan ada yang menggunakan jalan pintas dan berhutang untuk melunaskan pembayaran deposit ini, menambah lagi beban kewangan mereka tanpa kepastian pun selepas 5 tahun mereka mampu untuk memiliki rumah tersebut.
Dahulu, bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran membayar wang deposit 10 peratus ini, Kerajaan BN melancarkan beberapa inisiatif antaranya;
– Skim Perumahan Belia: pembeli dapat pinjaman 100%, kerajaan bantu bayar ansuran bulanan RM200 sebulan untuk tempoh 2 tahun.
– Skim MyDeposit: Kerajaan bayarkan deposit 10 peratus untuk pembeli rumah pertama, jumlah maksimum RM30,000.
– Rumah Transit Belia: belia boleh menyewa untuk 5 tahun, dengan kadar sewa 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Malah, sebahagian sewa dipulangkan semula selepas 5 tahun, supaya ia boleh dijadikan wang deposit
Ini dari segi permintaan atau demand side.
Kita juga mengusahakan perumahan mampu milik di seluruh negara dan memastikan harga jualan lebih rendah daripada pasaran, sebanyak yang kita boleh usahakan. Ini dari segi penawaran atau supply side.
Inisiatif-inisiatif yang saya sebut di atas ini, Kerajaan BN laksanakan dahulu dengan memikirkan bagaimana cara terbaik untuk membolehkan rakyat memiliki kediaman.
Dasar-dasar kita membantu pemilikan rumah dan kita mengambil pendekatan pro-rakyat.
Nampaknya hari ini pendekatan dah berlainan.
Kerajaan PH sepatutnya memikirkan dengan lebih terperinci mengenai segala inisiatif yang mereka umumkan, apa kesan jangka panjang kepada rakyat.
Jangan sekadar melepas batuk di tangga.
Mungkin kerana gaji bulanan Menteri hari ini, sebulan sahaja dah mencukupi untuk bayar deposit rumah ikut pengumuman baru ini.
Jadi mereka tidak memahami isu dan keperluan rakyat.