Perbuatan pengusaha restoran bukan Islam menggunakan identiti Muslim berlaku sejak lebih lima tahun lalu, kata Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas).
Presidennya Ayob Abd Majid berkata pengusaha itu cuba mengaburi pelanggan beragama Islam walau restoran tersebut bukan dimiliki orang muslim dan tidak dikendali mengikut syarak, lapor Harian Metro.
“Apa yang berlaku ialah pelanggan mengambil mudah kerana menganggap semuanya halal dan patuh syarak kerana mereka tidak mengetahui operasi di sebaliknya,” kata beliau.
Mahu membawa isu itu kepada Jabatan Agama Islam Kebangsaan (Jakim), Ayob berkata beberapa pengusaha bukan Islam, yang menggunakan ayat al-Quran, di Ampang dikenakan tindakan beberapa tahun lalu.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mewajibkan semua pengusaha premis makanan halal mendapatkan sijil pengesahan halal bagi kemudahan pelanggan Islam.
Ayob Abd Majid berkata syarat itu perlu bagi semua premis termasuk restoran, warung dan ‘food truck’ sama ada yang sedang beroperasi atau ingin memulakan perniagaan.
Langkah itu dapat membantu pelanggan Muslim yang kadang-kadang keliru dengan status halal sesebuah restoran yang menjual makanan kepada pelanggan Muslim.
“Setakat ini kita dapati tiada lagi garis panduan dari Jakim yang mewajibkan pengusaha restoran untuk ada sijil halal, (ini kerana) selagi mana pengusaha ada sijil boleh berniaga dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mereka boleh terus membuka restoran.
“Restoran-restoran besar seperti hotel dan francais, mereka perlu ada sijil halal Jakim untuk mula beroperasi, justeru Permas mencadangkan untuk Jakim mewajibkan juga perkara ini kepada pengusaha restoran yang menjual makanan halal supaya pelanggan Muslim lebih yakin dengan status halal sesebuah restoran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ayob berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dijalankan semalam terhadap sebuah restoran di Shah Alam, pada mulanya mendapati seorang pemilik bersama restoran itu beragama Hindu.
Pemeriksaan lanjut JAIS mendapati restoran yang disangka restoran ‘mamak’ itu turut mendapati hampir semua pekerja termasuk tukang masak adalah beragama Hindu selain hanya dua orang sahaja beragama Islam, serta kesalahan menjual daging kambing yang tiada sijil halal.
Ayob turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum memasuki sesebuah restoran, serta terus melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya mendapati terdapat keraguan mengenai status halal restoran itu.
“Memang pihak berkuasa seperti JAIS sering membuat operasi sebegini terhadap restoran-restoran, tetapi orang ramai perlu turut lebih berhati-hati apabila memasuki sesebuah restoran, jangan main ikut orang sahaja tanpa memastikan status halalnya.
“Orang ramai di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan yang ingin membuat aduan boleh terus menghubungi pihak JAIS atau sekiranya ingin mengadu kepada Permas boleh dibuat di laman Facebook Permas bagi tindakan susulan,” katanya.
Rujukan:
KPDNHEP Selangor serbu restoran ‘mamak’ siang biawak
https://pakdin.my/kpdnhep-selangor-serbu-restoran-mamak-siang-biawak/
JAIS & KPDNHEP Serbu Ameer Corner, daging diperolehi dari pembekal tiada sijil halal
https://pakdin.my/jais-kpdnhep-serbu-ameer-corner-daging-diperolehi-dari-pembekal-tiada-sijil-halal/
Kedai makan guna nama berunsur Islam untuk mengelirukan, perniagaan lain guna nama ala barat
https://pakdin.my/kedai-makan-guna-nama-berunsur-islam-untuk-mengelirukan/