Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa mengetahui usaha bagi ‘menghabiskan’ pihak istana yang didakwa baginda dirancang oleh ‘Kadir’, lapor Malaysiakini.
“Kadir, saya tahu mengenai pertemuan di Menara Ilham. Sila teruskan (rancangan) itu.
“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Jika kamu mahu menghabiskan kami, kamu perlu menghabiskan kesemuanya. Kamu tidak boleh buat separuh jalan atau 50 peratus. Kamu perlu bersungguh-sungguh dengan 110 peratus,” titah Tunku Ismail melalui ciapannya di Twitter.
TMJ pada masa sama bertitah pihak yang dimaksudkan agar menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Tolong selesaikan masalah rakyat. Itu pun kalau sudi,” titah baginda lagi.
Baginda bagaimanapun tidak menjelaskan siapakah ‘Kadir’ yang dimaksudkan, tetapi dipercayai merujuk kepada penasihat media kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ciapan Tunku Ismail hadir selepas pihak Istana Johor dikaitkan dengan isu tanah melibatkan pembinaan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS).
Kadir i know abt the meeting in menara Ilham. Pls proceed. But like i said before. Nak finish us, must finish completely. Tk boleh half way atau 50%. You must go all out 110%. My opinion. Buat masa yang sama please selesaikan masaalah Rakyat. Itupun kalau sudi. Hanya pandangan.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) May 4, 2019