AKIBAT cemburu, lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul sehingga mati oleh seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Kenanga 8, FELCRA Changkat Lada, Kampung Gajah, hari ini.
Dalam kejadian 2.30 petang, mangsa berusia 42 tahun yang juga duda anak tiga parah di beberapa anggota badan akibat dipukul suspek dengan kayu yang diletakkan paku.
Difahamkan, sebelum itu pada jam 12 tengah hari, mangsa bersama isteri suspek dikatakan keluar ke Teluk Intan untuk membeli barang dengan menaiki kereta.
Suspek menahan kereta dinaiki isterinya bersama mangsa dan memecahkan tingkap kereta sebelum menarik lelaki OKU yang cacat kaki kiri itu keluar dan memukulnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.40 petang sebelum anggota Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian itu berlaku di hadapan rumah suspek, namun lelaki berusia awal 40-an itu sudah tidak duduk bersama isterinya kerana mereka dalam proses perceraian sejak hampir setahun lalu.
“Suspek mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan mangsa dan kejadian dipercayai berpunca kerana cemburu hingga suspek memukul mangsa menggunakan kayu yang diletakkan paku.
“Kejadian itu berlaku di hadapan isteri suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, ketika polis tiba di lokasi kejadian, suspek masih memukul mangsa sebelum berjaya dileraikan polis.
Menurutnya, mangsa parah di seluruh badan akibat dipukul dan pasukan perubatan yang hadir kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya, suspek yang tidak sempat melarikan diri itu ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
LIHAT VIDEO: https://youtu.be/OykHpTsGu6w