Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa mengendalikan kes tuduhan rogol terhadap Exco Perak Paul Yong dengan profesional, telus dan adil dan tidak cuba menangguh proses keadilan kerana isu ini diperhatikan negara-negara lain, terutamanya Indonesia.
Kes ini bukan sahaja melibatkan hubungan diplomatik antara dua negara, tetapi kredibiliti Polis Diraja Malaysia dan sistem kehakiman Malaysia di mata dunia turut dipertaruhkan.
Maka proses keadilan haruslah dilihat dijalankan secara adil dan telus demi membuktikan kepada seluruh dunia dan Indonesia bahawa prinsip keadilan sentiasa dijunjung tinggi di sistem kehakiman negara Malaysia dalam semua kes.
Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng berkata, jika proses kehakiman dilihat sebagai adil dan telus, ini mampu menyakinkan Indonesia dan negara-negara lain untuk menerima keputusan siasatan dan mahkamah Malaysia.
Namun, jika sebaliknya dibuat, maka Malaysia akan dikecam dan imej negara akan jatuh.
Apatah lagi, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia turut dilaporkan memandang serius kes ini.
Malah, dakwaan rogol membabitkan Exco Perak itu turut diliputi agensi-agensi media antarabangsa dan Indonesia seperti CNN dan MSN, Republika, Metro TV, Antara, Detik, Jawapos, Riaupos, Radarindo, Akurat, Galamedia, Sindonews, Buananews, Harian Aceh, Harian Jogja, Liputan BMI, Porostimur, Terasjabar, Indonesia Inside, Cendana News dan lain-lain lagi.
“Berita mengenai pembantu rumah yang diseksa majikan sering menjadi buah mulut, namun sekarang seorang ahli politik Malaysia telah dituduh membuat perkara yang sama pula.
“Hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Indonesia juga mungkin terjejas dan bakal membangkitkan perasaan benci warga Indonesia terhadap Malaysia, yang jika tidak dikawal, mungkin berkembang sehingga menjadi isu keselamatan di kalangan masyarakat,” kata Ching Seng dalam satu kenyataan.
Lagipun, kata beliau, tujuan utama sistem kehakiman adalah untuk menjamin keadilan kepada semua maka perspektif profesionalisme harus sentiasa ditegakkan.
Katanya, polis ataupun timbalan pendakwa raya harus menjalankan tugas mereka secara objektif dan berkecuali kerana mereka juga tertakluk kepada undang-undang.
Warganegara Indonesia yang disyaki di rogol ahli politik DAP Malaysia mengalami trauma
https://pakdin.my/warganegara-indonesia-yang-disyaki-di-rogol-ahli-politik-dap-malaysia-mengalami-trauma/