Kerajaan perlu menyediakan strategi ekonomi yang jelas bagi membolehkan komuniti perniagaan terus berkembang dan melabur.
IDEAS dalam satu kenyataannya hari ini berkata, meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) menjadikan gangguan bekalan dalam sektor komoditi sebagai penyumbang utama kelemahan prestasi ekonomi pada suku keempat 2019 – kerajaan seharusnya melihat juga kepada petunjuk lain yang sama penting dalam mempengaruhi ekonomi negara.
Antara sektor yang disenaraikan oleh institut tersebut adalah pelaburan swasta yang telah merekodkan kemerosotan prestasi sejak beberapa suku lalu.
Selain itu, kejatuhan import dalam barangan modal dan jentera menunjukkan para pelabur swasta berhati-hati terhadap tinjauan masa hadapan pelaburan.
Malah, Bursa Saham Malaysia juga mencatatkan prestasi buruk sepanjang tahun 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Ali Salman berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang telah disasarkan iaitu 4.3 peratus di sebalik cabaran luaran seperti perang perdagangan dan sebagainya.
“Prestasi buruk ini perlu diletakkan dalam konteks yang betul- dengan pertumbuhan tahunan berada dalam jajaran sasaran awal dan dalam masa sama berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar.
“Tetapi, ia juga mencerminkan terdapat kelemahan di dalam negara sendiri terutamanya dari segi pelaburan swasta yang rendah.
“Ketidaktentuan dalam politik serta kekurangan strategi ekonomi yang jelas telah menjejaskan sentimen perniagaan swasta yang mana mereka sangat diperlukan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan perlu bergerak ke hadapan dalam memberi fokus kepada isu-isu politik etrsebut dan menyediakan hala tuju jelas untuk ekonomi Malaysia,” jelasnya.
Bank Negara pada Rabu lalu mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 berkembang pada paras 3.6 peratus, kadar terendah dalam tempoh 41 bulan manakala prestasi ekonomi bagi keseluruhan 2019 adalah 4.3 peratus.
Angka tersebut merupakan KDNK terlemah dalam tempoh 10 tahun.