Kerajaan mempertimbang memasukkan tindakan membawa kanak-kanak ke tempat tumpuan ramai ke dalam Akta 342 sebagai perkara yang dilarang jika masih ramai ibu-bapa berbuat demikian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), masih tiada sebarang sekatan untuk membawa anak kecil ke premis tumpuan ramai seperti pusat beli-belah.
“Kita akan bincang, jika ibu-bapa masih tidak hiraukan keselamatan anak-anak. Sehingga kini, saya masih harapkan masyarakat disiplinkan diri sendiri, saya ingatkan keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab kita,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB di sini, hari ini.
Sejak PKPB dilaksanakan 4 Mei lepas, terdapat ramai ibu-bapa membawa bayi dan anak kecil ke pusat beli-belah yang nyata mendedahkan risiko golongan itu kepada COVID-19.
Beliau berkata walaupun tiada sekatan sedemikian, adalah menjadi tanggungjawab keluarga untuk tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya jangkitan COVID-19 dan tidak menggunakan kelonggaran yang diberi dengan sewenang-wenangnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata dengan pelanjutan PKPB bermula 13 Mei hingga 9 Jun seperti diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPB sebelum ini masih kekal berkuat kuasa.
Katanya sebarang perubahan SOP akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu katanya, kadar pematuhan orang ramai terhadap peraturan PKPB adalah 95 peratus dan kerjasama berterusan rakyat Malaysia diperlukan bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.
Beliau turut berkongsi proses pengagihan 32.6 juta penutup hidung dan mulut percuma melibatkan 8.16 juta isi rumah di seluruh negara telah selesai sepenuhnya.
Katanya, setakat semalam sebanyak 228 pusat kuarantin telah beroperasi melibatkan 14,268 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.