KERAJAAN mengingatkan mereka yang terlepas sekatan jalan raya balik ke kampung tidak bermakna akan turut bernasib balik semasa dalam perjalanan pulang semula untuk memulakan kerja.
Itu amaran keras Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri terhadap mereka yang masih melakukan rentas negeri meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.
“Bagi mereka yang pulang ke kampung terlepas sekatan, seronoklah dah terlepas balik kampung.
“Tetapi saya ingin ingatkan lepas ini sekatan jalan raya (SJR) balik tidak bermakna mereka mungkin terlepas pulang balik ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
“Jadi mungkin seronok dah terlepas, mungkin beri berbagai-bagai alasan akhirnya diterima polis. Tapi balik nanti mereka juga akan lalui sekatan dan belum tentu boleh terlepas,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Ahad petang.
Beliau juga mengingatkan umat Islam yang meraikan Aidilfitri supaya bersederhana dalam semua hal dan berharap tidak ada yang akan ditahan ketika berada di kampung masing-masing kerana didapati ingar SOP dan PKPB.
Menurut Ismail Sabri, kira-kira 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung pada Sabtu diarahkan berpatah balik oleh polis.
“Kelmarin 500 kenderaan telah diperiksa diarah berpatah baik. Semalam saja 1,248 kenderaan.
“Maknanya lebih sekali ganda rakyat cuba curi-curi pulang ke kampung dengan pelbagai alasan,” katanya.
Namun beliau menasihati orang ramai supaya tidak cuba berbuat demikian kerana hukuman kompaun akan dikenakan polis.
“Jadi saya haraplah, dah sebut pun semalam tak perlu cuba balik kampung. Bersiap lepas sahur bawa anak, isteri sampai sekatan diarah berpatah balik.
“Alhamdulillah masih diarah berpatah balik. Katakan polis kenakan kompaun, jadi yang rugi kita. Saya harap tak perlulah cuba balik kampung terutama rentas negeri,” katanya.