SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.
++++++
Kes Sosilawati: Bekas Peguam, Tiga Yang Lain Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati
Selepas mengharungi 113 hari perbicaraan, mendengar keterangan 138 saksi, meneliti 742 bahan bukti, kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sampai ke kemuncaknya.
Siang tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Akhtar Tahir mensabitkan keempat-empat tertuduh terhadap pertuduhan itu.
Dan satu-satunya hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu hukuman gantung sampai mati dikenakan.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Akhtar selepas berpuas hati dengan bukti-bukti kukuh dan sahih dikemukakan pihak pendakwaan.
Pihak pembelaan juga kata Datuk Akhtar gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini.
Datuk Akhtar dalam penghakimannya berkata, antara bukti yang membantu kepada keputusan itu termasuklah keterangan saksi ke-33 pendakwaan, iaitu Siti Hamidah Karnax yang juga pembantu rumah kepada tertuduh pertama.
Antara lain keterangan Siti Hamidah, dia ada melihat kelibat tiga lelaki dan seorang wanita pada malam kejadian empat-empat mangsa dilaporkan hilang.
Siti Hamidah turut memaklumkan ada menyaksikan api yang marak di ladang, tempat kesemua mangsa dilaporkan dibunuh.
Hakim Datuk Akhtar juga membuat kesimpulan, penemuan dua buah kereta mewah milik mangsa dan peguamnya di dua lokasi berbeza di Subang Jaya turut menguatkan lagi bukti.
Turut dikemukakan sebagai bukti, sejumlah barangan termasuk serpihan tulang dan darah yang ditemui pada kepingan zink dan pemukul kayu kriket di lokasi pembunuhan.
Bukti-bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan hujahnya, tidak mampu dicabar pihak pembelaan.
Bekas peguam, N.Pathmanabhan, dan tiga pekerja ladangnya, R.Matan, R.kathavarayan dan T.Thilai Yalagan berdepan tuduhan membunuh Datuk Sosilawati dan tiga yang lain di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.
Kesalahan dilakukan antara 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
3 mangsa yang lain, pegawai bank, Noorhisham Mohamad, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin.