Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malahysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan SRC International Sdn. Bhd, menurut jurucakap ahli perniagaan itu, malam Sabtu.
Jurucakap itu dalam satu kenyataan berkata bahawa wakil Low akan menghubungi SPRM untuk mengetahui bagaimana beliau dapat membantu.
Dalam kenyataan satu perenggan, jurucakap itu berkata: “Low telah melihat laporan akhbar bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuannya.
Ini kali pertama Low menyedari wujudnya permintaan seperti itu. Beliau belum menerima atau diberikan sebarang notis.
“Wakil Low akan menghubungi SPRM untuk mengetahui bagaimana beliau dapat membantu,” kata kenyataan itu.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; Pengarahnya, Datuk Suboh Md Yassin dan Low perlu menghubungi SPRM dengan segera untuk membantu siasatan berkaitan SRC International.
Beliau juga berkata, mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya dan juga dikehendaki menghubungi para pegawai SPRM.