Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mempersoalkan formula penilaian yang diguna pakai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menentukan harga tawaran pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) bernilai RM2.7 bilion.
Pengerusi Biro Profesional Muda pergerakan itu, Shahril Sufian Hamdan menegaskan, penilaian tersebut harus didedahkan oleh Mohamed Azmin kerana jumlah RM2.7 bilion itu tidak menepati persetujuan kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menetapkan tawaran pengambilalihan ekuiti Splash hanya berjumlah RM250.6 juta daripada jumlah keseluruhan kos membabitkan empat syarikat konsesi perkhidmatan air bernilai RM9.65 bilion.
Menurutnya, semasa pentadbiran Abdul Khalid, kerajaan negeri ketika itu difahamkan menggunakan kaedah pembayaran berdasarkan pulangan ekuiti pada kadar 12 peratus setahun dengan pemotongan mana-mana bayaran dividen melibatkan empat syarikat konsesi.
“Dari segi pecahan kos keseluruhan pengambilalihan empat syarikat konsesi, pentadbiran kerajaan negeri semasa di bawah Abdul Khalid menetapkan RM1.97 bilion bagi pembayaran ekuiti manakala RM7.67 bilion lagi diperuntukkan bagi kos liabiliti yang diambil alih.
“Malah, kos keseluruhan RM9.65 bilion itu telah ditetapkan menerusi Perjanjian Utama yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, keadaan ini amat berbeza dengan tawaran baharu kerajaan negeri untuk mengambil alih ekuiti Splash pada nilai RM2.7 bilion yang membawa maksud kos sebenar pengambilalihan syarikat itu dijangkakan mencecah RM5.7 bilion merangkumi tambahan liabiliti bernilai RM3 bilion. Justeru, kita minta Menteri Besar dedahkan laporan penilaian yang dibuat di sebalik harga tawaran baharu yang dipertahankan kerajaan negeri itu,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini.
Yang hadir sama Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zainal; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Fakhzan Md. Noor dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop.
Tambah Shahril, sekiranya Mohamed Azmin kekal mempertahankan harga tawaran pengambilalihan ekuiti Splash pada nilai RM2.7 bilion dan liabiliti RM3 bilion, itu akan menyebabkan kos keseluruhan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi perkhidmatan air meningkat kepada RM13.51 bilion.
“Apakah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar ketika ini cuai dalam menguruskan wang rakyat? Kita bimbang peningkatan kos pengambilalihan Splash akhirnya terpaksa ditanggung rakyat menerusi kenaikan tarif air pada masa depan,” ujarnya.