Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Sultan Ahmad Shah diumumkan mangkat jam 8.50 pagi.
“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.
“Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau turut meminta semua rakyat bersama-sama mendoakan semoga roh Almarhum Sultan Ahmad Shah dirahmati dan ditempatkan bersama para syuhada.