Di sebalik kerjasama dan hubungan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), PAS dan BN tidak dijemput semasa majlis pengumuman calon gabungan tersebut pagi tadi.
“Kita tak dijemput,” jawab Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, ketika dihubungi sebentar tadi.
Bagaimanapun, menurutnya, PAS akan menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri dalam acara yang menurutnya akan berlangsung esok pagi.
Kata Mohd Aminuddin, dia sendiri sebenarnya tertunggu-tunggu pengumuman Muhyiddin esok dan wakil pimpinan PAS Pusat juga turut bersama.
Pun begitu katanya PAS akan berlapang dada dan menerima apa saja keputusan diambil dengan hati terbuka.
“Itulah (pengumuman esok) yang sahihnya, itulah berita yang tepatnya. Kalau dia (Muhyiddin) kata PAS tak bertanding, tak bertandinglah.
“Kalau dia kata bertanding sekian-sekian kerusi… 10 kerusi, maka PAS (akan) bertanding 10 kerusi,” tambahnya lagi.
Petang tadi, PN melalui Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor, mengumumkan calon mereka untuk bertanding di 29 kerusi namun susunan yang dibuat itu menyaksikan berlaku pertembungan dengan BN di sekurang-kurangnya tiga kerusi.
Jemputan melalui WhatsApp
Umno pula mengumumkan akan bertanding di 31 kerusi pada majlis yang menyaksikan Bersatu menarik diri dari majlis itu pada saat-saat akhir.
Ia berlaku ketika PN dan BN dilihat bekerjasama di Putrajaya.
Untuk rekod PN merupakan gabungan longgar membabitkan Bersatu yang disokong PAS. Pada masa sama – dan berlaku lebih awal – PAS juga merupakan sekutu Umno melalui Muafakat Nasional (MN).
Umno pula memutuskan tidak menyertai PN sebaliknya mahu mengukuhkan MN. MIC pula menarik diri selepas membuat keputusan menyertai gabungan berkenaan sebelum itu.
Hubungan yang tegang di antara Umno dan Bersatu juga pernah disaksikan di negeri-negeri lain sebelum ini.
PAS sudah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di 10 kerusi pada 8 Sept lalu.
Mengenai majlis akan dihadiri Muhyiddin esok, Aminuddin berkata, dia ada menerima jemputan melalui aplikasi WhatsApp.
……………………
Calon Perikatan Nasional PRN Sabah dari Bersatu:
Tanjung Kapor – Norlizah Gurahman
Badau – D. Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda
Pintasan – Fairuz Renddan
Sulaman – Hajiji Noor
Petagas – Arsit Sedi
Kawang – Ghulam Haidar Bahadar
Membakut – Mohd Arifin Mohd Arif
Klias – Isnin Aliasnih
Kuala Penyu – Limis Jury
Karanaan – Masidi Manjun
Nabawan – Abd Ghani Yassin
Labuk – Samad Jambri
Segama – Aljen Johnny
Silam – Abd Hakim Gulam Hassan
Senallang – Norazman Utoh Naim
Bugaya – Daud Tampakong
Apas – Nizam Abu Bakar Titingan
Merotai – Mohamad Jalani Chachu
Sebatik – Muis Picho
Calon STAR:
Tambunan – Jeffrey Kitingan
Bingkor – Robert Tawik @ Nordin
Liawan – Annuar Ayub
Sook – Ellron Angin
Sri Tanjung – Fung Lin Fun
Moyog – Joseph Sulaiman
Paginatan – Abidin Madingkir
Tulid – Everitis Gungkit
Calon SAPP:
Tg. Papat. – Yong Chie Man
Luyang – Gee Tien Siong