KEMAMAN – Operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini diteruskan pada 9 pagi ini.
Mayat ketiga dan keempat mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar, Air Putih dekat sini berjaya ditemui setakat ini sebentar tadi.
Mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dipercayai ditemui pasukan mencari dan menyelamat di sektor kedua iaitu berhampiran Sungai Teladas di sini pada pukul 11.05 pagi.
Seorang lagi mayat kanak-kanak perempuan pula dipercayai dijumpai tidak jauh dari lokasi penemuan Muhammad Haziq Ziqree pada 11.25 pagi.
Begitupun, identiti mayat masih belum dikenal pasti sama ada Puteri Aryana Umairah, 4, atau Puteri Nurerina Natasya, 10.
Jarak penemuan kedua-dua mayat dengan lokasi kejadian dianggarkan lebih 15 kilometer.
Usaha untuk membawa keluar kedua-dua mangsa sedang dilakukan pasukan mencari dan menyelamat.
Semalam, operasi SAR dihentikan pada 6 petang ekoran hujan lebat yang menyukarkan pencarian selain berisiko kepada pasukan pencarian yang dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu orang awam.
Hanyan berkata sehingga 10 malam semalam, tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu mengenai kedudukan baki mangsa yang masih hilang berjaya dibuat pasukan pencarian.
Pada operasi hari ini, pasukan akan memulakan pencarian pada radius 8km dari lokasi kejadian di kiri dan kanan tebing jeram selain percaya mangsa mungkin dihanyutkan arus jauh dari lokasi mengambil kira tempat mayat Azizah ditemukan.
Unit anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM akan digerakkan hari ini bagi membantu memudahkan kerja pencarian dengan penambahan kekuatan pasukan SAR juga bakal dibuat di tiga fasa kawasan pencarian yang ditentukan mengikut kekuatan dan bantuan operasi pasukan SAR.
Semalam, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
…………………..
TRAGEDI KEPALA AIR: OPERASI SAR BABITKAN RADIUS 32 KM
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini dibahagikan kepada tiga sektor pencarian dengan keluasan radius pencarian 32 kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata sektor pertama pencarian dari lokasi kejadian hingga lapan km; sektor kedua dari Balai Polis Air Putih ke Empangan Sungai Pinang (lapan km hingga 15 km) dan sektor ketiga bermula dari Sungai Pinang menghala muara Sungai Kemaman (15 km ke atas).
“Radius pencarian bertambah ke 32 km disebabkan arus air yang deras kerana berlakunya hujan lebat pada malam tadi. Ketika ini pun didapati arus air masih deras dan menunjukkan tren peningkatan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini, hari ini.
Beliau berkata sehingga pagi ini pasukan pencarian yang melibatkan 163 anggota daripada pelbagai agensi yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu belum menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di sepanjang sungai bermula dari Air Putih hingga ke Chukai untuk menyalurkan maklumat jika menemui sebarang petunjuk kepada pihak polis.
“Apa-apa sahaja, baik objek atau bau, sila maklumkan kepada Balai Polis Air Putih sama ada melalui panggilan telefon atau datang ke sini untuk salurkan kepada kita bagi membantu operasi SAR,” katanya.
Katanya pasukan SAR melibatkan seramai 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM (65), Pasukan Gerakan Am (PGA) (46), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (empat), badan bukan kerajaan (empat), pasukan khas teknikal oleh orang awam (sembilan) serta dibantu dua unit anjing pengesan K9 JBPM.
Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu Hassan ‘As’ari berkata fokus operasi pada hari ini lebih tertumpu kepada sektor pertama melibatkan pasukan dari PDRM, JBPM dan PGA.
“Kita rasa mungkin di situ sebab ada tanda-tanda… mangsa pertama kita jumpa 24 km dari tempat kejadian yang bermaksud tidak jauh dari muara Sungai Kemaman.
“Mangsa kedua jumpa pada jarak dua km dari tempat kejadian. Bermakna ada kemungkinan… sebab mayat kedua dijumpai tersangkut di dahan pokok, jadi ada kemungkinan mangsa-mangsa lain pun akan kaedahnya sama macam itu,” katanya.
Hassan berkata pihaknya akan melihat kepada pelbagai elemen secara terperinci terutamanya membabitkan keselamatan pasukan SAR dalam radius pencarian lebih-lebih lagi apabila penilaian JBPM hari ini mendapati aliran arus sungai masih deras.
“Berkaitan akses ke lokasi pula, sebenarnya kita ada strategi yang telah dirancang selain menempatkan satu pasukan pada setiap lima ke tujuh km untuk buat pencarian di kawasan sekitar,” katanya.
BERKAITAN:
- [VIDEO] Kepala Air: Dua lemas, lapan lagi masih hilang di Jeram Mawar, Kemaman
- [VIDEO] 10 beranak terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Pinang, Batang Kali
- [VIDEO] Kenderaan dihanyutkan kepala air di Ulu Kasar, Setiu
- Kepala air: 11 mangsa termasuk bayi terkandas di Sungai Pinang, Batang Kali
- Mangsa terakhir kejadian kepala air ditemui